BINTULU: Sepasukan anggota bomba terpaksa dikerahkan untuk memadam kebakaran melibatkan longgokan sampah dipercayai sengaja dibakar di dalam sebuah rumah terbiar, Jalan Tanjung Batu di sini, pagi tadi.
Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu disedari penduduk sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak memberitahu, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 pagi.
“Pada awalnya, penduduk menyangka kebakaran berlaku di dalam rumah itu. Namun sebaik sahaja bomba sampai, kita mendapati ia hanya melibatkan longgokan sampah yang sengaja dibakar di dalam rumah kosong terbabit.
“Kejadian ini juga tidak melibatkan struktur dan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota melakukan pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk memadam kebakaran.
“Setelah memastikan keadaan selamat, anggota bersama jentera bertolak balik ke balai,” tambahnya.

