Diskaun bil elektrik hingga Disember

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bersetuju menyambung pemberian diskaun bil elektrik sehingga Disember depan.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan menyedari impak Covid-19 yang terus membebankan rakyat.

“Kadar diskaun gabungan tertinggi 25 peratus untuk isi rumah dengan 23 peratus ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.

“Ia dianggarkan menelan perbelanjaan RM84 juta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jelasnya, penyambungan pakej BKSS ini memastikan beban rakyat dapat dikurangkan lebih-lebih lagi dalam masa yang sukar ini.

Terdahulu katanya, Kerajaan Sarawak memperkenalkan potongan bayaran bil elektrik di bawah pakej itu sejak April yang merupakan sebahagian daripada rancangan komprehensif untuk meringankan beban ekonomi rakyat bagi melengkapkan bantuan Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Sesco Berhad Lau Kim Swee memaklumkan, pelanggan yang layak mendapat potongan harga antara 5 peratus hingga 25 peratus di bawah pakej BKSS Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan ditunjukkan dalam bil masing-masing.

Menurutnya lagi, pasukan petugas khas Sarawak Energy dikerah bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu untuk menormalkan bil dan memastikan setiap pelanggan yang memenuhi syarat baik kategori domestik, komersial atau industri menerima potongan harga selewat-lewatnya pada Disember.

Bagi diskaun November, ia akan ditunjukkan dalam bil yang akan dikeluarkan dari 16 November hingga 30 November 2020.

Sementara diskaun untuk bulan Disember akan ditunjukkan dalam bil Disember. Manakala, bagi bil yang dikeluarkan pada bulan Oktober dan 1 hingga 15 November, diskaun akan dimasukkan dalam bil Disember.

Suara Sarawak