ARTIKEL

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua insan yang bergelar ibu.

Doa ibu senjata paling ampuh, penawar segala duka – Tun Wan Junaidi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING:

Serai serumpun sirih sejunjung,
diambil lalu di kerat-kerat,
kasih ibu tiada penghujung,
tetap teguh ke akhir hayat.

Demikian rangkap pantun empat kerat diberikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada semua insan yang bergelar ibu di seluruh Malaysia, tanda penghargaan atas jasa serta pengorbanan yang tidak ternilai.

Menurutnya, sambutan Hari Ibu bukan sekadar hari memberi hadiah atau ucapan, tetapi peringatan tentang betapa besarnya peranan wanita hebat dalam hidup kita.

“Ibu adalah insan pertama yang mendidik kita mengenal dunia, menyokong setiap langkah sejak mula belajar bertutur, berjalan hingga ke alam dewasa.

“Ketabahan seorang ibu tidak terungkap dengan kata-kata. Walaupun penat bekerja atau mengurus rumah tangga, mereka tetap melayan anak-anak dengan penuh sabar dan kasih sayang.

“Tatkala kita menghadapi kesedihan atau kegagalan, ibu hadir menenangkan hati dan memberi semangat. Doa ibu adalah senjata paling ampuh, penawar segala duka,” katanya dalam perutusan sempena Hari Ibu 2025, hari ini.

Justeru, beliau menyeru semua rakyat untuk menghargai ibu bukan hanya pada hari istimewa, tetapi sepanjang hayat dengan meluangkan masa serta mencurah bakti selagi hayat dikandung badan.

“Setiap hari adalah peluang untuk kita menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada ibu bapa kita. Hadiah yang paling berharga bukanlah wang ringgit atau barangan mewah, tetapi perhatian, belaian dan senyuman ikhlas.

“Bagi yang tidak lagi mempunyai ibu, panjatkan doa dan sedekahkan amal sebagai tanda kasih yang berpanjangan.

“Saya dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi percaya bahawa penghargaan kepada ibu adalah amalan berterusan yang menguatkan ikatan keluarga dan memelihara nilai-nilai murni dalam masyarakat,” tegasnya.

Tambahnya, sambutan Hari Ibu yang diraikan di serata dunia adalah wadah untuk mengenang, menghargai dan mensyukuri segala pengorbanan insan bergelar ibu.

“Tiada harta di dunia ini yang dapat menandingi jasa seorang ibu. Segala pengorbanan itu dicurahkan tanpa mengira penat dan lelah untuk memastikan anak-anak membesar dalam keadaan sejahtera dan berjaya.

“Peranan ibu amat penting, melalui asuhan dan kasih sayang wanita inilah, lahirlah individu berilmu, berintegriti dan berdaya saing, yang mampu memimpin negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan.

“Dalam Islam, syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu, menandakan betapa tingginya darjat mereka,” katanya lagi.

Setiap tahun, hari ibu disambut pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei di seluruh dunia, termasuk masyarakat Malaysia dan tahun ini ia jatuh parda 11 Mei 2025.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road