“DOAKAN kejayaan kami, kesihatan kami dan selamat tiba,” kongsi jaguh terjun negara kebanggaan Sarawak, Pandelela Rinong Pamg di laman sosialnya sebelum berangkat ke Tokyo, Jepun bersama 18 atlet lain.
Perkongsian tersebut mendapat respons hangat para penyokong yang turut mendoakan kejayaan beliau untuk mengharumkan nama negara.
Pemenang pingat emas dalam acara 10 meter (m) platform individu pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA, Tokyo, pada Mei lalu itu begitu teruja untuk kembali ke negara matahari terbit dengan misi memburu pingat emas.
“Saya amat teruja terbang kembali ke Tokyo untuk misi seterusnya dalam kejohanan Sukan Olimpik.
“Doakan keselamatan dan kesihatan kami serta kejayaan semua atlet dalam memburu misi masing-masing,” katanya dalam satu perkongsian video di laman sosial.
Sementara itu, seramai 18 orang atlet bersama-sama 13 jurulatih telah berangkat ke Tokyo bagi memburu misi emas pertama.
Antara yang berangkat menerusi penerbangan Japan Airlines pada pukul 10.50 malam kelmarin, termasuk atlet dari sukan renang, terjun, gimnastik, badminton dan memanah.
Kumpulan tersebut antara yang terbesar buat pasukan Malaysia yang berangkat ke Tokyo dalam meneruskan misi ke Sukan Olimpik 2020.
Kontinjen itu disertai oleh sembilan pegawai termasuk Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Naziffuddin Najib, Wong Choong Hann dan pegawai perubatan daripada Institut Sukan Negara (ISN).
Selain itu, seramai 30 atlet kebangsaan dalam pelbagai sukan dengan badminton menjadi penyumbang terbesar dengan lapan atlet bertanding.
Keberangkatan para atlet turut disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

