KUCHING: Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Dr Tiki Lafe secara terbuka menyatakan beliau tertarik dengan perjuangan PSB.

Menurutnya, semua objektif parti jika ia sebuah parti sebenar, patut bekerja untuk rakyat bukan untuk kepentingan diri sendiri dan hal tersebut, PSB mempunyai ciri berkenaan.

Dr Tiki merupakan ahli PPBM mengakui tertarik dengan PSB dan datang sokong majlis yang diadakan oleh parti berkenaan malam kelmarin.

“Bagi saya, tiada masalah kita daripada parti luar menghadiri majlis yang dianjurkan oleh sesebuah parti lain umpamanya Majlis Mantar Gawai PSB ini,” ujarnya semasa ditemui pemberita Majlis Mantar Gawai anjuran PSB di sini malam kelmarin.

Dr Tiki juga bekas Ahli Parlimen Mas Gading dilihat bermesra dan duduk semeja dengan barisan pemimpin tertinggi PSB pada majlis berkenaan.

Mengulas sama ada berminat menjadi ahli parti PSB, Tiki berkata, beliau akan membuat pengumuman kepada media mengenai apa jua keputusannya.

“Perjuangan saya adalah membantu menstabilkan politik di Sarawak dan Malaysia secara menyeluruh dalam apa jua medium mampu saya sumbangkan.

“Saya hadir ke majlis ini adalah untuk memberi sokongan kepada rakan dalam parti PSB,” ujarnya sambil memberitahu PPBM membantu satu sama lain.

Terdahulu, Dr Tiki merupakan antara seorang daripada 19,000 individu dari Sarawak yang mendaftar menyertai PPBM pada 31 Ogos 2018.

Perkara ini didedahkan jurucakap Protem Bersatu Sarawak Affendi Jeman dalam sidang media selepas Tiki mengisi borang keahlian untuk menyertai PPBM.

Affendi berkata, Dr Tiki yang bekas ahli berhormat telah menunjukkan minat dan mengisi borang untuk menyertai Bersatu dan beliau yakin, ramai lagi bekas wakil rakyat akan mengikuti jejak Dr Tiki.

Dr Tiki sebelum ini, merupakan ahli SPDP yang kini dikenali sebagai PDP keluar dari parti itu untuk menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Namun, beliau kalah pada PRU13 dengan calon Barisan Nasional Datuk Anthony Nogeh yang menang dengan majoriti 2,156 undi.