PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah berakhir Ahad lalu.
Ketua Menteri, jemaah menteri dan pembantu menteri telah pun diumum dan dilantik.
Malah telah mengangkat sumpah — paling pantas dalam sejarah pilihan raya di negara ini.
Dan, ia difahami sebagai usaha untuk menoktahkan sebarang usaha menukar kerajaan, jika keputusan tidak dimuktamadkan segera. Penulis mengakui bahawa pilihan raya kali ini cukup genting, dramatik dan penuh intrig.
“Plot twist” berlaku di mana-mana, hingga ke penghujung.
Dalam tempoh 30 hari selepas ini, seluruh negara juga menanti penuh debar, adakah akan berlaku kejutan?
Adakah akan ada drama?
Pertukaran kerajaan atau acara lompat dan keluar parti sesuatu yang sinonim dengan politik Negeri Di Bawah Bayu itu.
Dan, ia tampaknya bermula dengan pertemuan 12 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Bebas yang dikatakan “minum kopi” di sebuah hotel pada Isnin, yang ditafsir cuba menggerakkan sesuatu.
Apa-apa pun, PRN kali ini menghimpunkan beraneka kes menarik untuk dianalisis. Ia akan menjadi rujukan dalam mana-mana pilihan raya selepas ini, terutama bagi mereka yang “meraikannya” dalam tempoh 24 bulan akan datang, termasuk PRN Sarawak.
Banyak perkara boleh dibincangkan.
Antaranya termasuklah strategi baharu politik negara — dengan calon parti lain boleh “dipindahkan” kepada rakan sekutu pada saat akhir.
Ini berlaku kepada Datuk Jamawi Ja’afar di DUN Melalap dan Datuk Yamani Hafez Musa di DUN Sindumin. Jamawi merupakan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di kawasan Melalap sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor meletakkannya sebagai calon PH-PKR di kawasan tersebut.
Tujuannya seperti kata Jamawi, supaya akan ada wakil yang dapat membawa isu-isu pembangunan, ekonomi dan sebagainya dari Sabah terus kepada pucuk pimpinan di peringkat Persekutuan. Jamawi dan Yamani merupakan taruhan besar Anwar selepas Datuk Ruji Ubi di DUN Merotai.
Ruji, 55, merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, sebelum diumum sebagai calon PH pada Jun lalu. Ruji bagaimanapun tewas dalam saingan empat penjuru kepada calon WARISAN, Sarifuddin Hata, manakala Yamani kalah kepada calon WARISAN, Yusri Pungut dalam saingan 10 penjuru di DUN Sindumin. Ini bukan pertama kali Jamawi bertanding.
Berusia 51 tahun, Jamawi pernah menjadi ADUN Kemabong pada 2018 atas tiket UMNO. Pada 2020, beliau bertanding di DUN Melalap namun tumbang.
Beliau sekali lagi dicalonkan UMNO di Parlimen Tenom pada 2022 namun tumbang juga, sebelum menyertai GRS, setahun kemudian.
Dalam PRN Sabah ini, beliau merupakan calon PH tunggal yang menang dalam saingan lapan penjuru, dan dilantik Menteri Pertanian,
Perikanan dan Industri Makanan. Yang ketara, PRN ini menghantar mesej jelas kepada semua pengamat politik di seluruh negara.
Kempen oleh parti-parti politik Sabah rupanya penuh retorik sematamata. Slogan tinggal slogan ketika mereka melaungkannya.
Kerana akhirnya, yang membentak, menghina, mencarut dan segala macam lagi ketika kempen, akan berjabat tangan, bercium pipi sebaik pilihan raya tamat.
Mereka akan duduk berbincang, senada dan meninggalkan permusuhan itu kepada penyokong. Itu berlaku kepada GRS dan Barisan Nasional (BN). Juga kepada UPKO dan Pakatan Harapan (PH).
Agenda untuk membentuk kerajaan secara bersama lebih penting, biarpun sebelum itu, permusuhan tampak sudah sampai adan.
Namun PRN Sabah memberi naratif baharu berkait dengan pemilihan umum pada masa depan.
Tentang pengundi generasi baharu, terutamanya pemilih berusia 18-28.
Mereka ini pemilih yang fokus kepada calon dan bukan parti. Pemimpin yang baik dan bekerja keras akan dikekalkan, dan yang berlagak, culas, malas dan pembohong akan ditinggalkan, walau suatu ketika dia merupakan seorang yang hebat. Ini isyarat jelas pengundi di saluran muda, baik di saluran 3, 4 dan 5.
Mereka tidak takut untuk membuat keputusan dalam meraikan demokrasi. Mereka mahukan pembaharuan dan menilai prestasi semasa wakil rakyat.
Bukan sahaja wakil rakyat perlu berjiwa rakyat, juga perlu beretika, menjaga adab dan memberi ruang kepada rakyat untuk berkomunikasi.
Juga berhati-hati ketika menyuarakan kenyataan, dan melayan kerenah.
Terutama kepada media dan di media sosial.
Kerana generasi medsos inilah, terutama di kawasan bandar dan separa bandar, DAP hilang kerusi secara serentak. Sebelum ini, parti itu memiliki enam kerusi dan bertanding untuk menambah dua lagi.
Namun mereka tidak sedar bahawa angin yang berpuput sudah berbeza.
Atau jika sedar pun, segala-galanya sudah terlambat. Membaca keputusan itu lebih awal ialah Ilham Centre yang mencerap angin perubahan dan ‘swing mood’ ketara dalam kalangan pengundi Cina di Likas, Inanam, Luyang, Kapayan dan Api-Api.
Para pemilih ini, kata badan penyelidik itu merupakan kelompok yang sangat terdedah kepada sumber maklumat pantas melalui media sosial.
Dan, mereka inilah antara yang terawal membentuk pola penolakan terhadap pengaruh parti dari Semenanjung.
Berkata pada Jumaat (sehari sebelum pengundian), ‘mood’ protes dan kecewa boleh dilihat pada kempen PH di kawasan bandar yang begitu hambar dan gagal mendapat sambutan pengundi Cina berbanding PRN sebelumnya.
Sekiranya gelombang protes ini membesar dengan peratus yang signifikan, kerusi Inanam, Api-Api milik PKR mungkin bertukar tangan.
Likas, Luyang dan Kapayan milik DAP berada di hujung tanduk. Dan, telahan itu tepat.
Kempen mewah PH dan khususnya DAP dengan “billboard” gergasi turut mengundang penolakan secara halus dalam komuniti Cina.
Angin ini menguntungkan WARISAN yang menerima limpahan penolakan terhadap PH.
Cerap mereka lagi, kekecewaan terhadap isu berkait ekonomi seperti pelaksanaan cukai SST, kenaikan harga barang tidak terkawal, isu integriti melibatkan rasuah, MA63 menjadi tema penolakan total terhadap PH.
Pengundi Cina Sabah jelas menghantar mesej tegas bahawa mereka tidak lagi bersedia menjadi “penyelamat tetap” kepada PH dan DAP, khususnya selepas wujud persepsi bahawa gabungan itu gagal mengutamakan isu-isu yang dekat dengan komuniti berkenaan sejak berada dalam Kerajaan Persekutuan.
Satu lagi kes yang menarik berlaku di DUN Lamag. Calon veteran, popular dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin hampir-hampir tersungkur.
Bung menang dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru, dan individu yang mengejarnya merupakan calon Bebas, Mohd Ismail Ayob atau dikenali sebagai MIHA.
Mohd Ismail ternyata berjaya membina gelombang besar yang menyebabkan Bung seram sejuk, waima memiliki pengalaman yang besar untuk mempertahankan DUN Lamag.
Siapa anak muda ini?
Berusia 44 tahun, beliau seorang penggerak badan bukan kerajaan yang disegani di kawasan itu.
Pernah aktif dalam UPKO sebagai Ketua Pemuda Bahagian Kinabatangan dan pernah menjadi Exco Pemuda pusat parti itu.
Pada 2017, beliau menyertai Parti WARISAN dan memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Wira Parti WARISAN pada 2022, menggantikan Datuk Mohd Azis Jamman.
Selepas meninggalkan Parti WARISAN, beliau menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah dan dilantik sebagai Pegawai Khas Ketua Menteri Sabah pada 2024.
Pernah menjadi calon Parti WARISAN di DUN Sukau pada PRU-14, beliau pernah bertanding di DUN Lamag pada PRN 2020 atas tiket WARISAN.
Pengalaman itulah yang membantu pengasas Unit Khidmat Masyarakat (MIHA) ini memberi bantuan kepada masyarakat sekitar Kinabatangan ini mencipta fenomena.
Menariknya, beliau menolak untuk menjadi wakil parti politik, sebaliknya menjadi calon Bebas untuk memastikannya berada dalam kerajaan jika menang.
Dan, keputusan itu “hampir-hampir menjadi” pada Sabtu lalu, kerana kekuatan jentera dan naratif perjuangannya.
PRN Sabah menyaksikan 596 calon bertanding untuk 73 kerusi. Daripada jumlah ini, 74 calon Bebas.
Seramai 205 calon berumur 60 tahun ke atas, diikuti 178 orang berusia 50-59 tahun; dan 146 orang berusia 40-49 tahun. Seramai 59 calon dalam kalangan usia 30-39 tahun, sementara lapan calon berusia 20-29 tahun; dengan calon termuda, berumur 24 tahun.
Calon tertua berusia 84 tahun.
Seramai 525 calon lelaki, manakala 71 calon wanita. Pola ini menunjukkan penyertaan demokrasi yang luar biasa dan warna-warni. Namun ia juga menampilkan kematangan politik yang tidak lagi terikat pada pola lama.
Pengundi kali ini memilih dengan cara yang berbeza, menilai calon dengan kriteria yang lebih canggih, dan membuat keputusan tanpa tunduk kepada sentimen tradisional atau tawaran material.
Tidak juga sekadar mengangguk pada logo satu tafsiran yang kuno.
Naratif “cash is king” turut tidak menjadi biarpun ada dakwaan ada parti menghulur jutaan ringgit.
Bagi pengundi dan pekerja parti, yang menghulur mereka terima.
Namun undi tetap rahsia kerana mereka sudah memiliki tekad, lama sebelum hari mengundi tiba.
Pemerhati politik yang berada di lapangan memberitahu, kehadiran tokoh politik yang datang dengan jentera besar, perbelanjaan mewah serta kempen penuh sumber mendapati diri mereka tersandar pada majoriti tipis atau tumbang sama sekali.
Justeru, apa yang menjadi faktor dan isu utama?
Seperti kata Ilham Centre, sepanjang kempen berlangsung, isu yang berkait dengan kepentingan hak Sabah seperti 40 peratus hasil hak Sabah; pelaksanaan MA63; autonomi negeri dan maruah serta identiti Sabah muncul menjadi naratif tumpuan hampir semua parti dan calon.
Tema kempen – Rumah Kita, Kita Jaga; Selamatkan Sabah; Bikin Balik Sabah; Sabah for Sabahan; Sabah First; Justice for Sabah; dan Kasi Bagus Sabah membentuk 77 peratus pemikiran dan pilihan pengundi.
Naratif ini menjadi nadi kempen dan pemangkin sokongan semua parti lokal yang bertanding. Selain isu-isu berkenaan, isu ekonomi dan perkhidmatan asas terus relevan.
Pengundi juga memberi perhatian isu berkait kos sara hidup, masalah air, catuan elektrik, infrastruktur daif, peluang pekerjaan anak muda dan isu integriti.
Selidikan Ilham Centre turut mendapati PRN ini menimbulkan perdebatan hangat berkaitan parti tempatan dan parti nasional yang bertanding.
Parti lokal berhujah mereka lebih layak dipilih kerana memiliki semangat lebih tulen, serta lebih jujur untuk memperjuang agenda rakyat Sabah.
Manakala parti nasional menekankan elemen kestabilan, dengan hujah bahawa pilihan terbaik untuk Sabah adalah memilih kerajaan yang menjalin hubungan matang dengan kerajaan pusat dengan semangat persekutuan yang baik.
Menyoroti isu ini, pendirian pengundi terbahagi kepada dua kelompok utama.
Kelompok pertama khususnya yang berada di kawasan luar bandar dengan tahap sosioekonomi sederhana dan ke bawah, mereka lebih cenderung terhadap parti lokal.
Dengan semangat Sabahan yang kuat, mereka lebih percaya kepada parti bernuansa setempat untuk menentukan nasib mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.
Manakala kelompok kedua khususnya yang berada di kawasan bandar dengan tahap sosioekonomi sederhana dan ke atas, mereka lebih cenderung kepada parti lokal yang bekerjasama dengan parti nasional.
Kelompok ini percaya bahawa dalam sistem ekonomi dan pentadbiran moden, kerjasama pintar antara dua segmen ini adalah pilihan terbaik untuk kelangsungan Sabah.
Ringkasnya, sama ada parti lokal semata-mata atau parti lokal yang bekerjasama dengan parti nasional mempunyai kelebihan untuk dipilih oleh pengundi.
Selari dengan kriteria tersebut kata Ilham Centre, menjelang hari mengundi, dua parti paling popular dalam kalangan pengundi ialah GRS dan WARISAN.
Selain itu, siapa bakal Ketua Menteri Sabah pasca-PRN kali ini turut jadi bualan hangat dalam kalangan pengundi.
Ini kerana prestasi Ketua Menteri akan jadi faktor penentu kejayaan dan keberkesanan kerajaan negeri nanti.
Tinjauan memberi beberapa nama untuk menjadi Ketua Menteri Sabah selepas 29 November dan paling popular ialah Hajiji Noor, diikuti Shafie Apdal.
Dua calon ini mendominasi sokongan, jauh meninggalkan nama-nama lain.
Antara faktor populariti Hajiji adalah kerana pengundi yang dikaji berpuas hati terhadap prestasi kerajaan negeri yang dipimpin oleh beliau.
Dan, pada masa yang sama 62 peratus turut berpuas hati terhadap prestasi beliau sebagai Ketua Menteri.
Watak tenang Hajiji berjaya mengatasi gelora yang menguji kepimpinan kerajaan negeri dan membawa kestabilan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Shafie pula mempunyai kelebihan karisma dan orator yang baik serta berjaya memimpin WARISAN untuk menggugat kubu lawan sepanjang kempen berlangsung.
Dan, ternyata telahan itu tepat. GPS dan Hajiji berjaya membentuk kerajaan setelah membentuk majoriti mudah, meninggalkan Shafie sebagai pembangkang yang kuat dengan kekuatan solid, 25 kerusi.
PRN kali ini juga menyaksikan 21 muka baharu akan memasuki gelanggang DUN, dengan 11 daripadanya adalah daripada WARISAN, lima GRS, dua BN, dan masing-masing satu Solidariti Tanah Airku (STAR), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), dan Bebas.
Ada kalangan mereka kini dilantik Pembantu Menteri. PRN Sabah sudah selesai.
Namun kesannya berpanjangan. Sepanjang sebulan kempen berlangsung bermula sebelum pembubaran lagi banyak mesej yang dicerap, yang menjadi ciri-ciri kemenangan calon.
Paling penting, bakal calon dan penyandang perlu sedar bahawa mereka bakal menjadi wakil rakyat. Justeru sebagai pemimpin, perwatakan perlu dijaga.
Jangan sombong, jangan bongkak dan jangan berlagak.
Berkhidmatlah seikhlas mungkin kepada rakyat, sesuai dengan gelaran “Yang Berhormat dan Yang Berkhidmat”.
Bagi parti-parti yang bertanding, terutama dari Semenanjung yang mahu menyeberang ke tanah Borneo, fahami sentimen lokal dan jangan menyerang membuta tuli. Waktu pilihan raya adalah waktu paling sensitif.
Salah berdehem sahaja, boleh menyebabkan parti dan wakil terpelanting, apatah lagi bermain sentimen.
Juga, jangan nafikan sentimen kenegerian atau praokial, kerana ia adalah naratif paling penting ketika ini, yang diyakini akan turut menjalar ke negeri-negeri seperti Johor, Kelantan dan Terengganu.
Percayalah, ia akan terus menjadi budaya setiap pilihan raya hingga suatu hari kelak, Malaysia memiliki pemimpin politik baharu yang berjaya menerapkan budaya nasional.
Yang pasti, drama PRN Sabah akan berakhir tidak lama lagi. Namun ia adalah permulaan bagi kita di Sarawak, beberapa negeri di Semenanjung dan seluruh negara.

