SELANGAU: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah semasa melalui sekatan jalan raya di Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 48 tahun yang bekerja sebagai buruh itu ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah semasa menjalankan Op Bersepadu Cegah Jenayah.

“Suspek ditahan semasa pemeriksaan terhadap kenderaan yang dipandu secara berasingan di lokasi sekatan jalan raya berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek pertama menemukan satu tiub straw lut sinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu.
“Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 0.15 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek kedua bagaimanapun tidak menemukan sebarang barang terlarang.
Namun, hasil ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek kedua disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Suspek pertama telah direman selama empat hari sehingga 23 Jun manakala suspek kedua dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah amat komited dalam usaha membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis menerusi talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.



