SERIAN: Dua individu cedera manakala lima lagi selamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Serian-Balai Ringin di sini, malam tadi.
Komander Operasi, PBKII KUP Dobbin Dindot, berkata, nahas tersebut membabitkan kenderaan Proton Saga dan Honda HRV yang berlaku sekitar jam 7.30 malam.
“Lima individu yang menaiki Honda HRV tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian tiba di lokasi,” menurutnya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Tambah Dobbin, dua mangsa yang menaiki kenderaan Proton Saga, masing-masing lelaki berusia 35 dan wanita berusia 23, dilaporkan tersepit di dalam kenderaan.
Katanya, pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 7.50 malam,” jelasnya lagi.

