Dua juta penutup mulut dan hidung mula diagih hari ini

KUCHING: Dua juta penutup mulut dan hidung yang ditempah dari China mula diagihkan kepada isi rumah pada Jumaat (hari ini), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada isi rumah yang berada di zon merah iaitu Kuching dan Kota Samarahan.

“Buat masa ini, kami sibuk membuat persediaan untuk agihan yang dikendalikan oleh  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan dibantu oleh pejabat daerah.

“Enam keping penutup mulut dan hidung akan diberikan kepada isi rumah di zon merah manakala empat keping diagihkan di zon jingga setiap keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian pandemik Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia yang turut dihadiri oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di sini kelmarin.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN mengakui, jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk setiap isi rumah tetapi ia amat membantu dalam mengurangkan sebarang risiko.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sejumlah RM6.5 juta dibelanjakan untuk membeli peralatan perlindungan kesihatan (PPE) dari China bagi kegunaan barisan hadapan dan ia telah tiba menggunakan pesawat MAS Kargo pada 9 April lalu.

“Ia di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang yang telah diagihkan kepada 33 fasiliti kesihatan seluruh di Sarawak. “Manakala baki tiga lagi hospital iaitu di Dalat, Mukah dan Daro akan dihantar secepat mungkin,” tegasnya.

Katanya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) turut membeli PPE tambahan berjumlah RM7 juta dari China yang dijangka tiba pada awal Mei depan.

“Malah, kita amat berterima kasih kepada sektor swasta yang berusaha menghasilkan PPE untuk kegunaan barisan hadapan di Sarawak,” ujarnya.

Suara Sarawak