BETONG: Gelanggang futsal terkemuka di pekan Debak, Riveria Sports Centre Debak, Betong bakal menjadi tumpuan dengan berlangsungnya dua kejohanan berprestij.
Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 16 Tahun Terbuka Betong Piala Laser Light 2026 akan berlangsung dari 19 hingga 20 Jun.
Di samping itu, Kejohanan Futsal Wanita Terbuka Betong Piala Datin Hafsah Saleh Edisi Ke-2 2026 dijadual berlangsung dari 20 hingga 21 Jun.
Pengerusi Kejohanan, Saiful Hanizam Suhaini, memberitahu dua kejohanan berprestij berkenaan merupakan aktiviti penyeri sepanjang tahun ini, khususnya di pekan Debak, Betong.
Menurut Saiful, penyertaan sudah dibuka kepada umum ketika ini.
“Untuk Futsal Lelaki Bawah 16 Tahun Terbuka Betong Piala Laser Light 2026, keterangan lanjut boleh menghubungi pegawai terlibat di talian 019-8372767 atau 012-8045242.
“Manakala, untuk Kejohanan Futsal Wanita Terbuka Betong Edisi Ke-2, keterangan lanjut boleh menghubungi Encik Khuril di talian 012-8045242 dan Puan Amy di talian 013-8006109,” ujar Saiful kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, kedua-dua kejohanan itu dianjurkan oleh Kelab Sukan Rekreasi Laser Light (KSRLL) dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).
Hadiah wang tunai menarik menanti tiga kelompok pasukan terbaik bagi kedua-dua kejohanan terbabit.
Bagi Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 16 Tahun Terbuka Betong Piala Laser Light 2026, juara akan menerima wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat.
Naib juara pula akan menerima wang tunai RM700 dan pingat, manakala RM500 dan pingat untuk dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama.
“Bagi Kejohanan Futsal Wanita Terbuka Betong Edisi Ke-2 2026, juara akan menerima wang tunai RM2,000 termasuk pingat.
“Naib juara akan menerima wang tunai RM1,200 dan pingat, manakala wang tunai RM700 termasuk pingat untuk dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir selaku pemenang tempat ketiga bersama,” katanya.


