KUCHING: Dua kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Sungai Ngungun dan Kluster Sungai Tuah di Kanowit.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kluster Sungai Ngungun merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di kawasan penempatan semula Nanga Ngungun.
Katanya indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-20,234, seorang lelaki tempatan berumur 67 tahun yang dikesan melalui saringan pra rawatan kali kedua di Hospital Sibu pada 11 April lalu.
“Kes indeks ini telah mendapat jangkitan daripada komuniti di Daerah Kanowit semasa mendapatkan rawatan di hospital dan jangkitan telah merebak dalam kalangan penduduk rumah panjang melalui pergaulan rapat sesama penduduk di rumah panjang tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas ahli keluarga, kontak kasual dan saringan bersasar ke atas penduduk rumah panjang tersebut, terdapat penambahan 25 kes positif Covid-19.
“Seramai 65 individu telah disaring melibatkan kluster ini dengan 26 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks manakala 39 kes didapati negatif selepas saringan pertama ujian rT-PCR,” katanya.
Kesemua 26 kes yang dikesan positif telah dirujuk ke Hospital Kanowit dan dimasukkan ke PKRC di bawah Hospital Sibu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.
Sementara, kenyataan itu berkata Kluster Sungai Tuah merupakan kluster kominiti yang melibatkan sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Tuah.
Katanya perebakan jangkitan dalam kalangan penduduk di rumah panjang tersebut berpunca daripada upacara pengebumian pada 12 April lalu dan disusuli sembahyang malam pada 12 hingga 14 April yang turut dihadiri oleh saudara mara dari Miri, Julau dan Sibu.
Menjelas lanjut, ia menyatakan indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-23,723, merupakan seorang wanita tempatan berumur 41 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Hospital Sibu setelah dirujuk oleh sebuah hospital swasta di Sibu pada 16 April.
“Hasil siasatan lanjut dan saringan aktif ke atas kontak rapat kepada kes indeks ini dan saringan bersasar ke atas penduduk rumah panjang tersebut, terdapat penambahan 30 kes positif,” katanya.
Tambahnya seramai 83 individu telah disaring melibatkan kluster ini dengan 31 kes telah didapati positif termasuk kes indeks dan 52 kes didapati negatif ujian rT-PCR.
Katanya kesemua 31 kes yang positif telah dirujuk ke Hospital Sibu dan Hospital Kanowit dan dimasukkan ke PKRC di bawah Hospital Sibu untuk pengasingan dan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, sebanyak 63 kluster yang masih aktif, dengan 18 kluster telah merekodkan 144 penambahan kes baharu manakala 45 kluster tidak merekodkan penambahan kes.


