ARTIKEL

Gambar hiasan AI

Dua lelaki di Kuching rugi RM270,000 akibat pelaburan palsu di internet

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hasrat untuk meraih keuntungan besar dalam masa singkat bertukar menjadi mimpi ngeri buat dua lelaki tempatan apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud baru-baru ini.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, kedua-dua kes membabitkan kerugian keseluruhan lebih RM270,000 dalam dua kejadian berasingan di Padawan dan Sibu.

“Dalam kejadian pertama di Padawan, seorang jurujual berusia lebih 60 tahun terpedaya selepas melihat iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi menerusi laman Facebook sekitar Mac lalu.

“Mangsa kemudian menghubungi individu yang disangka sebagai admin pelaburan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mancha, dengan tawaran keuntungan lumayan sebagai umpan, mangsa mengikuti arahan suspek dan membuat beberapa transaksi secara berperingkat ke akaun bank yang diberikan.

Jumlah keseluruhan kerugian mencecah lebih RM150,000. Katanya, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal mengeluarkan komisen seperti yang dijanjikan.

“Semakan lanjut mendapati syarikat pelaburan tersebut sebenarnya tidak pernah wujud.

Sementara itu di Sibu, seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh kasar turut menjadi mangsa penipuan serupa.

“Mangsa berusia lewat 40-an itu dikatakan tertarik dengan tawaran pelaburan oleh sebuah syarikat yang menggelarkan diri mereka Silvercape Capital Sdn Bhd menerusi laman sesawang yang kelihatan meyakinkan.

“Mangsa telah dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai ejen syarikat tersebut dan dimaklumkan bahawa pelaburannya telah menjana keuntungan besar.

Namun, untuk mengeluarkan hasil keuntungan itu, mangsa diminta membuat bayaran tambahan,” jelas Mancha.

Tidak berhenti di situ, Mancha berkata, mangsa kemudiannya diumpan sekali lagi oleh individu lain yang menyamar sebagai wakil sebuah agensi kononnya dikenali sebagai Global Anti Scam.

Kononnya, mangsa perlu membayar sejumlah wang bagi tujuan proses laporan dan pengeluaran semula dana.

“Akibat percaya, mangsa membuat beberapa transaksi tambahan berjumlah hampir RM120,000. Namun, sehingga laporan dibuat, tiada satu sen pun wang pelaburan dikembalikan,” ujarnya.

Kes tersebut kini disiasat dan pihak polis mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam sebarang tawaran pelaburan di internet, ujarnya.

Jangan mudah terpedaya dengan janji keuntungan lumayan dalam masa singkat dan pastikan sebarang pelaburan dibuat melalui platform sah serta berdaftar dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, tegas Mancha.

Orang ramai juga disaran membuat semakan terlebih dahulu terhadap mana-mana syarikat pelaburan di laman rasmi BNM di www.bnm.gov.my atau menghubungi talian BNMTELELINK 1-300-88-5465 serta Suruhanjaya Sekuriti di www.sc.com.my sebelum membuat sebarang komitmen kewangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU