MIRI: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki mencuri dua tong gas dari sebuah gerai makanan di Pantai Tanjung Lobang, Lutong, di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 12.11 tengah hari Khamis selepas dua tong gas bernilai kira-kira RM500 dilaporkan hilang dari premis berkenaan.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.04 pagi dan dilakukan dua suspek lelaki yang perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek merosakkan mangga pada rantai besi yang melilit tong gas sebelum melarikan kedua-duanya menggunakan sebuah kereta.
Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 37 tahun di sekitar Taman Tunku, Miri, kira-kira jam 4.20 petang hari sama.
“Hasil tangkapan itu, polis berjaya menemui semula dua tong gas berkenaan yang dipercayai telah dijual suspek kepada sebuah kedai di Jalan Lusut Lambir pada harga RM200.
“Polis turut merampas pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan serta sebuah kereta yang digunakan untuk melarikan tong gas tersebut.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga 10 Ogos bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



