Dua lelaki maut dalam kemalangan kendiri di Tatau

TATAU: Dua lelaki maut dalam satu kejadian kemalangan kendiri di KM30 Jalan Sangan- Merit berdekatan Jambatan Sungai Adai, di sini, petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Nelson Kana Anak Meliu, 32, dan Ginol Anak Sanyu, 47.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata sebelum kejadian kedua mangsa yang menaiki kenderaan jenis Toyota Prado dikatakan sedang bergerak dari arah Pasar Tatau menuju Rumah Danggat, Sungai Kana Jalan Sangan/Merit dekat Tatau.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di tempat kemalangan semasa menuruni bukit dan berselekoh, kenderaan yang dipandu Nelson dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tembok batu di kanan jalan.

Impak kemalangan itu mengakibatkan kenderaan tersebut terbakar manakala pemandu dan penumpang terperangkap di dalam kenderaan, kata Alexson lagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat kesan pecahan dan kesan brek pada kenderaan tersebut yang menyebabkan ia hilang kawalan lalu terlanggar tembok batu di kanan jalan, sebelum berhenti dan terbakar di tengah jalan.

Katanya lagi, gambar tempat kejadian dan rajah kasar telah diambil dan cuaca cerah dan permukaan jalan raya rata dan berturap

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya dan kenderaan Toyota Prado akan dibawa untuk pemeriksaan PUSPAKOM.

Kes ini akan siasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ujar Alexson lagi.