Dua lori ditahan cuba menyeludup barang kawalan ke Indonesia

BAU: Dua lelaki tempatan ditahan ketika membawa dua buah lori berisi barangan keperluan harian untuk diseludup ke Indonesia menerusi jalan gajah di sempadan Malaysia-Indonesia, Serikin semalam.
Jurucakap Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berkata, tindakan kedua-dua kenderaan yang bergerak laju untuk keluar menerusi sempadan tidak berjaya selepas ditahan oleh sepasukan anggota Serang dan Tangkap (SERKAP) sekitar jam 11 malam.
Menurutnya, lori terbabit seterusnya diarahkan untuk berhenti pada jarak kira-kira 500 meter dari sempadan.
“Lori pertama jenis Ford 3 Ton didapati berisi 664 kotak yang terdiri daripada pelbagai jenis barangan keperluan harian dianggarkan bernilai RM75,420.

TAHAN…Lori membawa muatan barangan keperluan yang cuba dibawa masuk ke Indonesia ditahan

“Manakala lori kedua jenis Nissan 3 Ton membawa 250 kotak serbuk Milo, 300 sarang telur, 100 kotak sabun pencuci, 100 guni barang dan kesemua barangan di dalam lori ini dianggarkan bernilai RM85,260.
Tambahnya, nilai keselurugan rampasan termasuk lori berjumlah RM162,480.
Sementara itu katanya, pasukan Sekatan Jalan Raya (SJR) tidak lama kemudian menahan dua lelaki menaiki motosikal di lokasi sama pada jam 11.20 malam.
Dedahnya, kedua-dua individu itu memberikan alasan masuk ke Indonesia untuk menghantar wang kepada ahli keluarga yang berada di rumah sakit Bengkayang, Indonesia.
Walaubagaimanapun katanya, individu tersebut disyaki merupakan kumpulan sama daripada pemandu lori yang ditahan.