BAU: Dua maut dan seorang parah selepas Perodua Kancil dinaiki mereka dirempuh lori 3 tan di Jalan Serikin, simpang menuju ke Kampung Stass di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira 10.06 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan yang remuk itu.
Katanya, mangsa masing-masing ialah lelaki berusia 32 tahun iaitu penumpang sebelah pemandu dan wanita yang belum dikenal pasti identiti—penumpang di bahagian belakang.
“Pasukan bomba bertindak menggeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Bau,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pemandu Perodua Kancil terbabit cedera parah dan dibawa ke Hospital Bau menggunakan ambulans, sementara pemandu lori berkenaan iaitu lelaki berusia 36 tahun, hanya cedera ringan.


