SADONG JAYA: Hasrat dua pelajar perempuan untuk memulakan perjalanan ke sekolah masing-masing tidak kesampaian apabila mereka terkorban dalam satu kemalangan jalan raya di Jambatan Batang Sadong, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Barry William berkata, kejadian berlaku sekitar 6.30 pagi.
“Berdasarkan laporan, sebuah Perodua Myvi yang dinaiki kedua-dua mangsa bersama-sama abang mereka dilaporkan terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori dua tan yang mengalami kerosakan dan diletakkan di bahu jalan tanpa sebarang tanda amaran.
“Mangsa yang maut ialah seorang pelajar berusia 19 tahun dan 17 tahun dengan kedua-duanya dalam perjalanan dari Simunjan menuju ke sekolah masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Barry, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu oleh abang mereka berusia 30 tahun menuju ke Asajaya dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian belakang lori tersebut.
Perlanggaran itu katanya menyebabkan kereta hilang kawalan, terbabas dan terbalik ke laluan bertentangan.
“Kedua-dua pelajar berkenaan tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pemandu lelaki berkenaan mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika pihak polis tiba di lokasi, mangsa lelaki berkenaan telah dibawa ke hospital oleh orang awam yang membantu di tempat kejadian.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi tujuan bedah siasat, manakala kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


