PUTRAJAYA: Dua penunggang basikal lelaki warga tempatan maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di Kilometer 9.0 Jalan Persiaran Selatan, Putrajaya, malam tadi.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata kemalangan berlaku pada 10.15 malam dan membabitkan pemandu lelaki berusia lingkungan 40-an serta dua penunggang basikal berusia lingkungan 40-an dan 30-an.
Siasatan awal mendapati kenderaan itu mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua penunggang basikal.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau balai polis berhampiran.



