SRI AMAN: Sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas ke dalam parit dalam kemalangan kendiri yang berlaku di hadapan Kuarters Gunasama Persekutuan, Jalan Akses Sri Aman tengah malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 pagi dan tiba di lokasi empat minit kemudian.
“Operasi diketuai oleh PBK I Noor Faqriakmal Jamari dengan kekuatan lapan anggota bersama dengan sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.
“Setibanya di lokasi, didapati dua orang mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” menurut kenyataan itu.
Tiada operasi penyelamatan dijalankan kerana kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.
Pasukan bomba memastikan kawasan kejadian selamat sebelum berangkat pulang ke balai.
Turut berada di lokasi ialah anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-TVS


