KUCHING: Dua substesen pencawang elektrik baharu akan dibina di Gedung dan Sebuyau bagi meningkatkan keupayaan bekalan tenaga elektrik di kawasan berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata peruntukan sebanyak RM150 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan dan menaik taraf infrastruktur elektrik bagi Bahagian Kota Samarahan itu, yang melibatkan kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Sebangan, Simunjan dan Gedung.
“Gedung akan mempunyai satu substesen pencawang 33kV yang merupakan sebahagian daripada peruntukan RM150 juta manakala bagi substesen pencawang di Sebuyau, kosnya akan ditanggung oleh Sarawak Energy.
“Kos setiap pencawang adalah sekurang-kurangnya RM25 juta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Selain itu, Julaihi yang juga ADUN Sebuyau berkata kabinet negeri turut meluluskan tambahan peruntukan RM450 juta bagi menambah kerja-kerja menaik taraf infrastruktur elektrik di Lundu, Betong, Lubok Antu, Sungai Asap dan Lawas.
“Kita sudah kenal pasti beberapa kawasan di Betong seperti Meludam, Pusak, Beladin, Saratok, Kabong dan sepanjang laluan dari dari Sarikei.
“Jadi, kita akan menaik taraf infrastruktur elektrik di pelbagai daerah dan bahagian bagi memastikan bekalan elektrik di negeri ini lebih stabil,” katanya.
Sementara berhubung perkembangan projek telekomunikasi, Julaihi berkata ia berada di landasan, dengan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah membangunkan
menara telekomunikasi di bawah Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) di kawasan-kawasan luar bandar.
“Di samping Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sarawak sedang berusaha untuk membangunkan semua infrastruktur digital termasuk menara SMART yang merupakan sebahagian daripada program Sarawak Linking Urban, Rural, and Nation (SALURAN).
“Bagi program SALURAN, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM2.3 bilion dan pada masa ini, kami sedang membina 618 menara SMART di seluruh wilayah,” katanya.


