KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.
James, 26, dari Sambas, Indonesia, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zuraidah Zakaria.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama kerana masuk ke Malaysia tanpa permit sah.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Jalan Sungai Maong Tengah, sekitar jam 4.20 petang, 17 Ogos lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu bersama pasukannya membuat pemeriksaan di sebuah kafe lalu menghampiri tertuduh.
Semasa pemeriksaan, tertuduh gagal mengemukakan identiti selain tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
Hasil siasatan mendapati semakan sistem pangkalan data Jabatan Imigresen Malaysia tidak merekodkan sebarang maklumat pergerakan tertuduh.
Oleh itu, tertuduh didapati masuk ke Sarawak secara haram.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang wanita warga Indonesia turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan atas kesalahan sama, iaitu masuk ke negara ini tanpa permit.
Yusnia, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Bandar Baru Samariang, sekitar jam 6.30 petang, 17 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


