KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 selepas dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
RUU yang dibentangkan pada Persidangan Hari Pertama, Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat DUN Sarawak ke-19 itu dibahaskan oleh 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus mendapat sokongan majoriti.
Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, pindaan itu tidak menetapkan sebarang perubahan segera terhadap kementerian sedia ada atau pelantikan menteri.
“Seperti yang saya katakan semasa pembentangan awal, antara sebab pindaan ini dibuat adalah kerana landskap tadbir urus negeri ini yang semakin berubah,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambahnya, pada persidangan DUN yang lalu juga, Sarawak telah menambah jumlah kawasan DUN daripada 82 kepada 99 — satu peningkatan besar yang mungkin memerlukan penyesuaian dalam struktur pentadbiran negeri.
“Pindaan perlembagaan ini mungkin hanya akan diguna pakai selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang, atau mungkin lebih awal — keputusan itu terletak sepenuhnya kepada Premier.
“Setelah diluluskan, ia menjadi undang-undang dan memberikan kuasa prerogatif kepada Premier untuk menambah, menyusun atau mengurangkan Kabinet,” ujarnya.
Mengulas sama ada mana-mana kementerian atau menteri akan terkesan, Abdul Karim sekali lagi menegaskan bahawa perkara itu bergantung sepenuhnya kepada Premier.
“Kuasa untuk mengubah atau menyusun semula Kabinet adalah prerogatif Ketua Eksekutif — Yang Amat Berhormat Premier. Pindaan ini berkaitan komposisi Kabinet,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kali terakhir pindaan seumpama ini dibuat adalah pada tahun 1995 iaitu 30 tahun lalu.
“Justeru, ia menunjukkan bahawa sebelum ini tiada keperluan mendesak, tetapi hakikat bahawa ia dibentangkan sekarang mencerminkan penilaian Premier terhadap keperluan semasa dan kepentingan beberapa bidang utama,” tegasnya.
Mengulas kebimbangan mengenai kemungkinan penambahan kementerian, Abdul Karim memaklumkan bahawa isu sama ada penambahan itu bukan persoalan utama.
“Apa yang penting ialah sama ada kita mempunyai kemampuan untuk menampungnya.
Kementerian datang bersama seluruh struktur pentadbiran — setiausaha tetap, agensi serta peruntukan bernilai puluhan atau ratusan juta.
Ia bukan hanya soal gaji menteri atau timbalan menteri.
“Jika kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi, mengapa tidak?
Yang penting ialah sesiapa yang dilantik — Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap atau pegawai — mestilah berkemampuan dan boleh dipercayai untuk melaksanakan tanggungjawab,” katanya lagi.
Ditanya sama ada pindaan itu boleh membawa kepada penubuhan kementerian baharu, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan tersebut.
“Ya, sudah tentu. Kementerian baharu mungkin diwujudkan atau kementerian sedia ada disusun semula.
Kita tunggu dan lihat sama ada ia berlaku sekarang atau selepas pilihan raya akan datang,” tegasnya lagi.
Terdahulu, RUU tersebut turut menyaksikan 74 ADUN mengundi sekali gus menyatakan sokongan.


