ARTIKEL

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya ketika membentangkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak pada persidangan DUN Sarawak, hari ini. - Gambar Ghazali Bujang

DUN Sarawak lulus Jawatankuasa Pilihan Khas Ombudsman Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menilai laporan tahunan Ombudsman dengan tujuan memastikan segala laporan, rekomendasi dan teguran yang dikemukakan dalam laporan Ombudsman dipatuhi dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, dengan ahli terdiri daripada ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, ADUN Ngemah Anyi Jana dan ADUN Tellian Royston Valentine.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Juanda Jaya yang membentangkan usul untuk melantik Jawatankuasa Pilihan Khas itu berkata, ia adalah untuk mempertimbangkan sebarang perkara berkaitan laporan Ombudsman yang dibangkitkan di dalam dewan.

Justeru, katanya pelantikan jawatankuasa itu perlu bagi memantau dan memastikan pentadbiran yang sewajarnya serta pematuhan berkesan syor Ombudsman berhubung salah tadbir oleh mana-mana agensi perkhidmatan awam.

Juanda menegaskan, penting agar dapatan Ombudsman kekal telus dan boleh diakses oleh rakyat serta dewan dapat melaksanakan fungsi pemantauan sewajarnya dengan prestasi Ombudsman dan tindakan yang diambil dalam melaksanakan fungsi serta kuasanya.

Beliau menambah pelantikan yang dilakukan akan memelihara prinsip semak dan imbang yang sewajarnya, memperkasa perkhidmatan awam Sarawak untuk terus mencapai tahap kecemerlangan dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Menurutnya, Sarawak telah mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang Ombudsman susulan kelulusan Ordinan Ombudsman Sarawak, 2023 di DUN pada 20 November 2023.

Menjelas lanjut, beliau berkata seperti yang diperuntukkan di bawah ordinan tersebut, Ombudsman ditubuhkan bagi memastikan pentadbiran awam di Sarawak berteraskan keadilan, ketelusan dan integriti.

Katanya sebagai sebuah badan bebas dan berkecuali, Ombudsman dipertanggungjawabkan untuk menangani aduan, menggalakkan tadbir urus yang baik serta melindungi hak mana-mana individu dalam urusan mereka dengan agensi perkhidmatan awam di Sarawak.

“Bagi tujuan Ordinan ini, agensi perkhidmatan awam merujuk kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa awam, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan mana-mana agensi perkhidmatan awam yang menjalankan fungsi perkhidmatan awam di bawah kerajaan negeri atau mana-mana jawatan yang emolumennya dibayar sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil negeri termasuk pegawai, pekerja, kakitangan, wakil dan ejen mereka.

“Oleh itu, kita mesti memastikan setiap suara didengar, setiap kebimbangan diberi perhatian dan prinsip ketelusan serta akauntabiliti terus berkembang dalam ruang awam kita,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk