KUCHING: Di tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Timur Tengah dan Eropah, Malaysia masih mampu mengekalkan subsidi minyak yang berkemungkinan mengundang aktiviti penyeludupan minyak ke negara jiran.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata kedudukan ekonomi Malaysia dan harga minyak pada masa ini sebenarnya jauh lebih baik dan stabil berbanding negara jiran.
“Harga minyak kita masih dapat dikekalkan, tetapi negara lain seperti Singapura sekarang sudah hampir mencecah RM10, begitu juga di Indonesia dan Thailand yang jauh lebih tinggi.
“Cabaran kepada kita sekarang ialah apabila minyak kita murah, ada pihak yang cuba mengambil peluang untuk menyeludup dan menjual minyak kita ke luar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Sumbangsih Santunan Kasih Seindah Syawal di Pusat Khidmat ADUN Samariang hari ini.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pintu sempadan dan rantaian bekalan bahan api perlu diawasi dengan kawalan yang lebih ketat.
“Bayangkan, bagi subsidi petrol sahaja, kerajaan membelanjakan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala diesel pula mencecah RM1.3 bilion sebulan.
“Secara keseluruhannya, hampir RM3.3 bilion subsidi disalurkan setiap bulan hanya untuk memastikan harga di pam tidak melambung,” ujarnya.
Fadillah berkata kerajaan menyediakan subsidi petrol mencecah RM24 bilion setahun, satu angka besar yang menuntut kawalan ketat bagi mengelakkan ketirisan di sempadan.
Beliau ketika ditemui juga memaklumkan rizab minyak negara dapat bertahan sehingga Mei dan PETRONAS sudah mendapatkan alternatif untuk menambah bekalan.
“PETRONAS telah mengenal pasti pelbagai alternatif bekalan, termasuk dari Australia dan negara lain, bagi mengurangkan kebergantungan kepada saluran semasa.
“Walaupun ada yang melalui Selat Hormuz, namun kita juga melihat alternatif lain serta mengambil langkah untuk menggunakan tenaga secara berhemah sekali gus memanjangkan rizab minyak negara.”
Tambahnya, melihat perkembangan di peringkat global ketika ini, terdapat tiga konflik utama melibatkan Iran-Amerika Syarikat-Israel, Rusia dan Ukraine serta Afghanistan dan Pakistan yang bukan sahaja mencetuskan pergolakan, malah menjejaskan politik dan ekonomi dunia.
Dalam pada itu, seramai 150 penerima kurang berkemampuan dari kawasan Samariang menerima sumbangan berupa makanan, kuih raya dan duit raya dalam majlis tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.


