ARTIKEL

Rundi (tengah) membaca ucapan penggulungan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. FOTO: RAMIDI SUBARI

Eksport Babi Hidup Berjaya Walaupun Berdepan Ancaman Wabak ASF

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak berjaya mengeksport sebanyak 82,400 ekor babi hidup bernilai RM129.8 juta ke Singapura manakala 12,600 ekor bernilai RM21.7 juta ke Selangor meskipun berdepan ancaman wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia susulan Pensijilan Kompartmen Bebas ASF yang diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) bagi kawasan penternakan babi Pasir Puteh.

“Pensijilan tersebut membolehkan kawasan penternakan babi Pasir Puteh terus beroperasi dan memenuhi keperluan pasaran eksport walaupun dalam keadaan pemantauan ketat terhadap kes ASF” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 , di sini hari ini.

Tambahnya, menjelang 2030, Sarawak dijangka mempunyai sebanyak tiga ladang babi moden beroperasi sepenuhnya dengan kapasiti 500,000 populasi ternakan dan keupayaan menghasilkan 860,000 daging babi setahun bernilai RM1.5 bilion.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa isu Japanese Encephalitis (JE) turut dipantau secara rapi oleh kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS).

“DVSS telah mengumpul sampel daripada ternakan babi di kampung terlibat dan semua sampel disahkan negatif terhadap JE.

“Kementerian akan meneruskan pemantauan penyakit bagi memastikan keselamatan ternakan dan kesihatan awam” ujarnya.

Virus JE tersebar antara babi, burung dan manusia melalui gigitan nyamuk. Manusia terutamanya mereka yang tinggal berhampiran ladang babi atau di kawasan luar bandar endemik berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Sementara itu, beliau berkata, industri perikanan meliputi perikanan laut, perikanan darat dan akuakultur dengan penyertaan seramai 15,191 nelayan dan pengusaha di seluruh negeri.

“Pada tahun 2025, jumlah pengeluaran sektor ini mencecah 106,715 tan metrik dengan nilai RM1.4 bilion.

“Namun sehingga Oktober lalu, Sarawak masih merekodkan import produk perikanan sebanyak RM537.5 juta, jauh melebihi RM169 juta nilai eksport menunjukkan ketidakseimbangan perdagangan yang perlu ditangani” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, kementerian akan melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk memperkukuh subsektor akuakultur termasuk menaik taraf 12 stesen perikanan darat di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Antara fokus utama ialah meningkatkan kapasiti pengeluaran benih ikan di Stesen Perikanan Darat Semariang Batu daripada 3 juta kepada 9 juta benih bagi menyokong keperluan industri akuakultur” ujarnya.

Selain itu katanya, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak juga sedang meningkatkan pengeluaran benih tilapia merah dan hitam di Stesen Perikanan Darat Ridan sebagai syarikat utama, manakala kementerian sedang meneroka kerjasama dengan syarikat swasta terkemuka untuk mengembangkan pengeluaran benih tilapia hitam.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk