ARTIKEL

Gambar hiasan | Bernama

El Nino dijangka berterusan hingga April 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Keadaan El Nino dijangka semakin menguat di Sarawak antara Oktober hingga Disember tahun ini dan berkemungkinan berterusan sekurang-kurangnya sehingga April 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tinjauan terkini Fenomena El Nino-Southern Oscillation (ENSO) menunjukkan El Nino kini berada pada tahap sederhana, dengan potensi tinggi untuk fenomena itu mencapai tahap kuat atau malah “El Nino Super” antara September 2026 hingga Januari 2027.

“Taburan hujan di bahagian barat daya Sarawak dijangka berada di bawah paras purata dari Oktober hingga Disember 2026.

“Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei 2026 pula dijangka berterusan sehingga September 2026,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat JPBN Sarawak, hari ini.

Justeru, Timbalan Premier itu berkata, meskipun El Nino merupakan fenomena iklim global dan kesannya boleh dirasai di pelbagai wilayah, Sarawak mengambil langkah awal bagi mengurangkan kesan yang berpotensi berlaku, khususnya kemungkinan keadaan kering berpanjangan dan penurunan paras air.

“Kesiapsiagaan adalah kunci utama. JPBN dan agensi-agensi berkaitan kini mengambil langkah proaktif dan tidak menunggu sehingga keadaan berkembang menjadi satu krisis,” katanya.

Sehubungan itu, Uggah berkata, JPBN bersetuju menubuhkan Pasukan Operasi Khas di Pusat Arahan Bencana Negeri (SDCC) bagi memantau dan menyelaras secara berterusan kesan penurunan paras air di seluruh Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Kebajikan dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah membekalkan dan akan terus menyediakan bantuan bekalan air kepada komuniti yang terjejas sekiranya perlu.

Selain itu, katanya, pejabat-pejabat Residen selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dan semua agensi turut diminta menilai semula tahap kesiapsiagaan masing-masing, termasuk bekalan air, logistik dan sumber bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.

“JPBN menegaskan bahawa persediaan awal adalah amat penting berikutan potensi berlakunya tempoh kering yang berpanjangan serta kesannya terhadap paras air.

“Jawatankuasa itu akan terus memantau situasi dengan rapi dan menyelaras langkah mitigasi serta persediaan kontingensi bersama semua agensi dan Pejabat Residen yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sedang menilai keadaan yang sesuai untuk pembenihan awan di Sarawak, dengan tempoh 3 hingga 5 September nanti dikenal pasti sebagai jangka masa yang berpotensi.

Katanya, keadaan cuaca ketika ini belum menyediakan keadaan awan yang sesuai untuk pelaksanaan operasi tersebut.

“Satu mesyuarat lanjut pada 1 September akan menentukan sama ada keadaan adalah sesuai untuk operasi berkenaan dilaksanakan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU