Elak pergolakan politik negara

LAWAS: Kestabilan politik perlu diteruskan supaya keamanan serta pembangunan negara dapat dikekalkan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Jelasnya, Sarawak mempunyai inspirasi dan aspirasi menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 termasuk mewujudkan rakyat yang berpendapatan tinggi.

“Justeru, kerjasama politik yang baik dikekalkan antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ia juga menjamin kestabilan serantau bukan sahaja untuk negeri ini tetapi penting bagi negara ini.

“Jadi, tugas kita memastikan negara terus aman dan damai. Rakyat perlu menumpu usaha mencapai keharmonian dalam semua segi.

Itu tanggungjawab rakyat.

“Komitmen untuk menuju ke arah itu begitu jelas berdasarkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Ketua-Ketua Jabatan dan Pemimpin Masyarakat Daerah Lawas di sini, semalam.

Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari itu memohon agar nasib kontraktor yang tidak dibayar sebelum ini dibela sewajarnya.

Jelasnya, banyak kontraktor di Sarawak melaksanakan projek di bawah Kementerian Luar Bandar yang diarahkan sebelum ini namun setelah siap tidak dibayar sehingga hari ini.

“Rumah-rumah itu sudah siap, tapi banyak kontraktor terlibat membina rumah itu belum dibayar.

“Walaupun jumlah kontrak kecil, tetapi mereka terpaksa membeli barang-barang dengan pembekal malah ada yang sudah muflis,” ujarnya.

Beliau berharap agar keperluan asas bahagian luar bandar Sarawak diberi perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.