ARTIKEL

Gambar hiasan

Elak rumah jadi sasaran

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KES jenayah pecah rumah dan kecurian masih menjadi kebimbangan utama masyarakat, lebih-lebih lagi ketika pemilik rumah keluar bekerja, bercuti atau meninggalkan kediaman dalam tempoh yang lama.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah mendedahkan sebanyak 1,611 kes jenayah indeks direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 2,042 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan pengurangan sebanyak 431 kes.

Walaupun ia menunjukkan penurunan sebanyak 21 peratus, peningkatan kes rogol serta samun bersenjata menjadi antara cabaran utama yang semakin membimbangkan.

Penjenayah lazimnya memilih rumah yang mudah menjadi sasaran dengan kepakaran dan peralatan dimiliki. Justeru, perkara paling asas adalah dengan memastikan pintu dan tingkap rumah sentiasa berkunci dengan baik.

Gunakan kunci berkualiti dan tahan lasak serta pasang jeriji keselamatan pada pintu dan tingkap sebagai benteng tambahan.

Inisiatif tersebut akan mengurangkan risiko untuk penjenayah memilih rumah anda sebagai sasaran.

Selain itu, era moden kini memudahkan pemilik rumah untuk memiliki kamera litar tertutup (CCTV) di pasaran.

CCTV kini lebih canggih dengan sistem pemantauan 24 jam dan boleh diakses dari jauh melalui telefon pintar.

Malah, ia juga boleh membantu pihak polis untuk melakukan siasatan sekiranya berlaku pecah rumah.

Penggera keselamatan dan lampu sensor pergerakan dapat membantu memberi amaran awal kepada individu yang cuba memasuki kawasan rumah.

Kehadiran peralatan keselamatan ini bukan sahaja memudahkan pemantauan, malah mampu menjadi faktor pencegah kerana penjenayah biasanya mengelak daripada melakukan jenayah di lokasi yang mempunyai sistem pengawasan.

Pencahayaan yang mencukupi di kawasan rumah juga memainkan peranan penting.

Pastikan kawasan halaman, laluan masuk, tempat letak kereta dan bahagian belakang rumah mempunyai lampu yang berfungsi dengan baik pada waktu malam. Ia akan mendedahkan aktiviti mencurigakan kepada jiran atau pasukan peronda.

Kawasan yang gelap dan terlindung sering menjadi pilihan penjenayah untuk melakukan kegiatan mereka tanpa disedari.

Pemilik rumah juga dinasihatkan supaya tidak mempamerkan barang berharga secara terbuka seperti wang tunai, barang kemas, komputer dan peralatan elektronik.

Perbuatan mempamerkan kemewahan secara berlebihan boleh menarik perhatian individu yang berniat jahat.

Elakkan memuat naik maklumat berkaitan percutian atau ketiadaan ahli keluarga secara masa nyata.

Tindakan berkongsi lokasi dan tempoh percutian secara terbuka boleh memberi petunjuk kepada penjenayah bahawa rumah sedang kosong.

Kita tetap boleh memuat naik aktiviti percutian dengan lebih lambat seperti seminggu selepas bercuti.

Sementara itu, persekitaran kejiranan yang selamat juga membantu mengurangkan risiko jenayah.

Sekiranya ingin meninggalkan rumah dalam tempoh lama, maklumkan kepada jiran yang dipercayai atau ahli keluarga terdekat supaya mereka dapat memantau keadaan rumah.

Penduduk digalakkan mengenali jiran tetangga dan mewujudkan hubungan yang baik sesama komuniti.

Malah, terdapat kampung yang membuat program rondaan sukarela untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Kehadiran penduduk yang sentiasa memantau persekitaran akan menyukarkan penjenayah untuk bergerak bebas.

Kanak-kanak dan warga emas juga perlu diberikan pendedahan aspek keselamatan diri dan rumah.

Mereka harus diajar supaya tidak membuka pintu kepada individu yang tidak dikenali serta segera memaklumkan kepada ahli keluarga atau pihak berkuasa jika terdapat situasi mencurigakan.

Keselamatan rumah bukan sekadar bergantung kepada pagar atau kunci, tetapi memerlukan gabungan langkah pencegahan, sikap berwaspada dan kerjasama komuniti.

Dengan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya, risiko menjadi sasaran penjenayah dapat diminimumkan, sekali gus mewujudkan suasana kehidupan yang lebih aman dan sejahtera untuk seluruh keluarga.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU