Elaun, pampasan tertunggak RM72,000

KEMENTERIAN Belia dan Sukan perlu memandang serius isu atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) terutama dari segi elaun, kontrak, makanan dan sebagainya.

Atlet para kebangsaan, Julius Jaranding berkata demikian dalam sidang media Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) di Kompleks Belia Sukan Negeri di Kuching, semalam.

Menurut Julius, beliau tidak menerima elaun daripada Institut Sukan Negara (ISN) sepanjang tahun 2019.

“Mengikut perjanjian dengan pihak Podium sebelum ini, saya masih sah dan sepatutnya menerima elaun daripada pihak ISN bermula pada 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2019.

“Bagaimanapun, saya tidak menerima elaun berjumlah RM72,000 bermula daripada 1 Januari hingga 31 Disember 2019 tanpa ada surat penamatan kontrak atau peralihan kuasa diberikan kepada saya,” katanya.

Tambah Julius, sekiranya benar pihak ISN ingin menamatkan kontraknya ia perlu disertakan dengan bukti penamatan kontrak yang jelas. “Kerana apabila kita ingin menamatkan kontrak seseorang, ia perlu mempunyai ‘hitam putih’, persetujuan, perbincangan dan sebagainya,” jelasnya.

JURIUS
JARANDING

Dalam hal berkaitan, beliau juga gagal mendapatkan elaun sebanyak RM2,000 pada bulan Januari 2020 daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kegagalan jurulatih menghantar laporan latihan.

“Ini menjadi masalah kepada saya atas sebab berkenaan elaun saya digantung untuk bulan Januari 2020.

“Saya atlet sepenuh masa, jadi saya memerlukan bayaran elaun ini untuk menampung perbelanjaan, kerana ada komitmen seperti bayaran kereta dan sebagainya.  “Saya juga telah berbincang dengan jurulatih berhubung dengan isu ini, tetapi tiada tindakan yang diambil hingga ke hari ini,” jelasnya.

Julius menyatakan bahawa pihak ISN dan MSN seolah-olah memandang remeh isu berhubung dengan elaun kepada atlet OKU sepertinya.

“Bagaimanapun, saya masih meneruskan latihan seperti biasa di sini (Pusat Akuatik Jabatan dan Sukan),” jelasnya.

Julius juga mendedahkan bahawa, beliau terkilan dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk Sukan Sea Manila yang akan berlangsung pada Mac nanti.

“Dalam perjanjian MSN ini, saya mesti memenangi pingat emas dan mereka menjanjikan tanggungan makan minum, jurulatih dan sebagainya.

“Pada hakikatnya tiada, jurulatih tidak menhadirkan diri, makan minum tidak disediakan dan KPI ini terlalu tinggi dan ia menjadi beban kepada atlet OKU seperti saya,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak