KUCHING: Empat barangan di Pasar Raya Emart Batu Kawa dijual pada harga lebih rendah berbanding Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025, sekali gus memberi pilihan lebih mampu milik kepada pengguna.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata barangan berkenaan melibatkan lobak merah, ubi kentang, bawang merah besar dan bawang kuning besar.
“Harga maksimum kawalan bagi lobak merah ditetapkan pada RM5.50, namun Pasar Raya Emart Batu Kawa menjualnya pada harga RM3.69, manakala ubi kentang yang dikawal pada harga RM3.50 dijual serendah RM1.69.
“Bagi bawang merah besar pula, harga maksimum kawalan ditetapkan pada RM4.50, namun dijual pada harga RM2.70, manakala bawang kuning besar dikawal pada harga RM4.50 tetapi dijual pada RM2.90,” katanya pada sidang media selepas melaksanakan sesi tinjauan SHMMP Krismas 2025 di Pasar Raya Emart Batu Kawa, di sini, hari ini.
Tegasnya, penurunan harga tersebut bukan bertujuan mempromosikan mana-mana peniaga, sebaliknya menunjukkan wujudnya kerjasama dalam memastikan harga barangan keperluan kekal di bawah paras kawalan dan munasabah untuk pengguna.

“Pada pandangan saya, harga tersebut sudah cukup rendah kerana tujuan kawalan harga adalah untuk memastikan kemampuan orang awam atau pembeli.
“Jika peniaga mampu menawarkan harga lebih rendah daripada harga kawalan, itu merupakan perkara yang positif dan wajar diteruskan kerana memberi manfaat kepada pengguna,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak mencampuri strategi perniagaan peniaga kerana perkara tersebut terpulang kepada masing-masing, selagi mana harga maksimum yang digazetkan dipatuhi.
“Kita mengawal harga maksimum. Jika peniaga memilih untuk menjual pada harga lebih rendah, itu memberi manfaat kepada pengguna dan merupakan perkara yang positif,” ujarnya.
Mengulas pelaksanaan SHMMP Krismas 2025 di Sarawak, Matthew berkata sebanyak 14 barangan harga terkawal telah diwartakan dengan tempoh penguatkuasaan selama lima hari, iaitu dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Barangan harga terkawal tersebut ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kepak ayam (Sabah, Sarawak dan W.P. Labuan sahaja), ayam tua hidup (Sarawak sahaja), kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah (China), tomato, cili merah dan lada benggala hijau.
“Selain itu, bawang merah besar, bawang kuning besar, ubi kentang import (China), babi hidup (peringkat ladang sahaja dan dikawal di Sarawak, Sabah dan W.P. Labuan), daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak) bagi Sarawak, Sabah dan W.P. Labuan,” jelasnya.
Beliau menambah, SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 di peringkat ladang, pemborong dan peruncit.
Dalam hal berkaitan, beliau turut menegaskan bahawa KPDN Sarawak berharap semua pihak mematuhi harga maksimum yang telah ditetapkan serta menggunakan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
Justeru, katanya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan melalui WhatsApp di 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.



