ARTIKEL

Kredit: Bernama

Emas bersinar sebagai aset selamat ketika ketidaktentuan dunia — MGA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Permintaan global terhadap jongkong emas sebagai pelaburan selamat semakin meningkat, khususnya dalam kalangan bank pusat dan individu bernilai bersih tinggi (HNWI), menurut Persatuan Emas Malaysia (MGA).

Presiden MGA Datuk Wira Louis Ng berkata bank pusat di negara seperti China, Poland dan Kazakhstan giat meningkatkan rizab emas masing-masing untuk mempelbagaikan pegangan negara.

“Walaupun permintaan terhadap emas gred pelaburan semakin melonjak namun, kita menyaksikan segmen barang kemas emas mengalami penurunan di seluruh Asia, termasuk pasaran yang secara tradisionalnya kukuh seperti China dan India,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga emas antarabangsa kekal stabil pada sekitar US$3,300 satu auns, mencerminkan kenaikan sebanyak 24 peratus sejak awal tahun ini.

“Paras harga ini disokong oleh permintaan institusi yang kukuh, terutama daripada kalangan pengurus dana global yang membeli emas melalui dana dagangan bursa (ETF) bagi pihak pelanggan yang bernilai tinggi,” katanya.

Ng berkata trend itu berpunca daripada ketegangan geopolitik yang meluas — termasuk konflik di Asia Barat, perang berterusan di Ukraine, dan geseran perdagangan antara Amerika Syarikat dan China — yang menjadikan pelabur bersikap lebih berhati-hati.

“Berikutan ketidaktentuan ini, emas terus dilihat sebagai penyimpan nilai yang boleh dipercayai.

Bank pusat, pelabur institusi, dan juga pelabur runcit bertindak balas sewajarnya terhadap keadaan ini,” katanya.

Bagaimanaun, beliau mengakui permintaan runcit terhadap barang kemas emas sedang menghadapi tekanan.

“Pasaran barang kemas runcit sedang mengalami trend menurun dan tidak menunjukkan momentum yang sama seperti emas gred pelaburan,” katanya.

Beliau menjangkakan pasaran emas kekal stabil dalam tempoh terdekat.

“Kami menjangkakan harga tidak banyak berubah dan berlegar di sekitar paras US$3,300, sementara pelabur terus memantau ketegangan global dan perkembangan ekonomi semasa,” katanya. — Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU