KUCHING: Nama Junior Talent mungkin agak asing kepada umum, namun mereka terkenal dalam kalangan komuniti permainan video Pubg Mobile.
Junior Talent terdiri daripada anak muda yang dikenali sebagai Miss Farr, Ngah, Trixnity dan Erynn.
Bulan lepas, mereka dan empat pasukan dari Malaysia, iaitu Gank, VIP, Arov esport dan Team Secret mewakili Malaysia di Kejohanan Pubg Mobile Club Open (PMCO) di Shanghai, China.
Walaupun pasukan mereka ibarat underdog namun semangat kesukanan mereka tinggi dan tidak pernah berputus asa. Menurut ketua pasukan Junior Talent Miss Farr, pasukan mereka ditubuhkan pada awal Mac tahun ini dalam permainan Pubg Mobile. Katanya, sepanjang kejohanan separuh akhir PMCO di Shangai adalah mencabar kerana kejohanan berlangsung pada bulan puasa serta berjauhan dari keluarga.
Jelasnya, mereka mengambil masa satu minggu untuk menyesuaikan diri dengan gajet dan gaya permainan pasukan Thailand dan Indonesia.
Tambahnya, sepanjang lima minggu di Shanghai, pasukan Junior Talent berjaya mendapat tiga kemenangan.
“Walaupun kami tidak layak untuk peringkat akhir di Jakarta minggu lalu, kami mencuba untuk mempamerkan gaya permainan yang menarik.
“Kejohanan PMCO juga memberikan kami pengalaman yang menarik dan sedikit banyak belajar dengan pasukan handalan dari Thailand,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemu bual Suara Sarawak di e-Mart Batu Kawah, semalam.
Kata Miss Farr, mereka berhas-at untuk mendapat tempat tiga teratas di kejohanan pmnc yang diadakan di Pusat Konvensyen Quill City Mall pada 13 dan 14 Julai nanti.
Miss Farr dan Ngah juga berkesempatan untuk datang ke Kuching untuk memberikan sokongan kepada pasukan Sarawak yang bertanding di PMNC Sarawak di e-Mart Batu Kawah.