ARTIKEL

Empat ditahan terbabit kes jual barang palsu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Empat individu ditahan dan pelbagai barangan, termasuk barang kemas disyaki palsu, dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Miri, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual serta menggadai emas tidak tulen, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu, berkata operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Miri sekitar jam 6:00 petang itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan tiga wanita berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, resit pembelian emas, pasport, salinan kad pengenalan pelbagai individu, pakaian, jam tangan, barang kemas disyaki palsu, serta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan, tidak termasuk kenderaan, adalah sekitar RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat, serta denda,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam urusan jual beli emas, terutama yang melibatkan transaksi dalam talian atau individu yang tidak dikenali.

“Pastikan pembelian dilakukan di premis sah, buat ujian ketulenan sebelum membeli, dan urus niaga dilakukan di lokasi yang dilengkapi CCTV serta disaksikan individu lain.

“Simpan bukti pembelian seperti resit atau rekod transaksi dalam talian, dan rakam gambar semasa penyerahan barang jika urusan dilakukan secara bersemuka,” jelasnya.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan siber, termasuk penipuan pekerjaan, pinjaman tidak wujud, love scam, e-dagang, dan panggilan palsu, diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sekiranya telah membuat sebarang transaksi ke akaun atau e-dompet suspek.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,