Empat kematian akibat jangkitan Covid-19 dicatatkan hari ini, tertinggi setakat ini

KUCHING: Sarawak mencatatkan kematian harian tertinggi jangkitan Covid-19 apabila empat kes kematian baharu yang melibatkan lelaki warga emas di Sibu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 48 kes.

“Kesemua kes merupakan warga emas yang berusia 60 sehingga 95 tahun yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti darah tinggi, buah pinggang, gout dan dislipidemia.

“Manakala, terdapat 178 kes positif Covid-19 yang dikesan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Jelasnya, Sibu mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 67 kes diikuti Bintulu 24 kes, Dalat (23), Kanowit (21), Kapit (10) dan Miri (enam).

Selain itu, Song (lima), Samarahan (lima), Kuching (tiga), Matu (tiga), Selangau (dua), Sebauh (dua), dan Beluru (dua).

Manakala daerah Sarikei, Bau, Subis, Julau, dan Lawas mencatatkan satu kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 5,272 kes.

Suara Sarawak