KUCHING: Empat pasukan kini tinggal selangkah untuk menempah tempat ke Grand Final Premier of Sarawak Debate Challenge Cup (PSDC) 2026, selepas berjaya melepasi saingan suku akhir hari ini.
Empat pasukan yang berjaya meneruskan cabaran ke peringkat akhir ialah Pasukan 1 dan Pasukan 2 dari Universiti Swinburne Malaysia, Pasukan A dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), serta Pasukan AHM dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan Pasukan A Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berdepan Pasukan AHM Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), manakala Pasukan 1 Universiti Swinburne Malaysia akan bertemu Pasukan 2 Universiti Swinburne Malaysia bagi menentukan dua pasukan yang akan berentap di pentas akhir malam ini.
Keempat-empat pasukan akan membahaskan usul “Akses kepada tenaga boleh diperbaharui Sarawak oleh industri berintensif tenaga seperti Press Metal hendaklah disyaratkan kepada usaha mewujudkan nilai ekonomi yang lebih besar kepada Sarawak”, dengan saingan dijangka menuntut tahap penghujahan dan strategi yang lebih tinggi apabila ruang untuk melakukan kesilapan semakin kecil.
Keputusan separuh akhir akan menentukan dua finalis yang bakal meneruskan perebutan Piala Premier Sarawak dan gelaran juara sulung PSDC 2026.
Tumpuan seterusnya beralih ke Grand Final PSDC 2026 yang akan berlangsung malam ini, dari 7.00 malam hingga 11.00 malam, di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan.
Malam ini bakal menyaksikan satu daripada dua finalis mencatat nama sebagai pasukan pertama menjulang Piala Premier Sarawak dalam sejarah PSDC.

