Empat positif di Kuching, Kluster Abell ditukar kepada Kluster Jalan Abell

KUCHING: Sarawak merekodkan empat kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan kesemuanya dikesan di Daerah Kuching, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,036 kes.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, masing-masing satu kes positif adalah dari Kluster Jalan Abell dan Kluster Wisma Saberkas, manakala dua lagi kes adalah import.

“Kes 1,033 adalah anak dan kontak rapat serumah kepada pasangan kes 1,010 dan 1,012 yang telah dilaporkan pada
11 dan 12 November 2020 dan mempunyai kaitan dengan Kluster Jalan Abell.

“Sementara kes 1,034 adalah ahli keluarga dan kontak rapat kepada kes 866 dan berkaitan dengan kontak positif Kluster Wisma Saberkas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPBNS turut memaklumkan bahawa Kluster Abell ditukar kepada Kluster Jalan Abell berikutan kes positif yang dikesan adalah di sebuah premis yang terletak di Jalan Abell.

“Untuk kes import, ia melibatkan wanita anggota Kementerian Kesihatan Malaysia pulang dari Semenanjung
Malaysia.

“Satu lagi kes adalah pelajar lelaki warganegara tempatan yang baru pulang dari Jordan,” ujar JPBNS.

Tambah JPBNS, Daerah Kuching kekal berstatus merah dengan jumlah keseluruhan seramai 126 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Suara Sarawak