ARTIKEL

Uggah bercakap kepada media selepas majlis penyerahan cek

Naik Taraf Sekolah Mubaligh di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peruntukan RM30 juta untuk sekolah mubaligh Sarawak tahun ini bukan sahaja bagi menaik taraf infrastruktur, malah RM10 juta daripadanya dikhususkan untuk meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan yang diluluskan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu merupakan fasa pertama daripada keseluruhan peruntukan RM30 juta tahun ini, meningkat berbanding RM20 juta yang disediakan setiap tahun sepanjang lima tahun lalu.

Uggah bersama-sama wakil sekolah mubaligh selepas menyampaikan cek peruntukan RM30 juta untuk kerja-kerja menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan pencapaian akademik pelajar.

“Baki RM10 juta akan digunakan untuk melaksanakan program bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar di sekolah mubaligh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan prestasi akademik penting bagi membolehkan pelajar memanfaatkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak.

“Program berkenaan akan merangkumi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain penguasaan bahasa Inggeris, Matematik serta kemahiran membaca dan menulis,” katanya.

Uggah berkata, baki RM10 juta itu akan disalurkan kemudian menerusi jawatankuasa yang ditubuhkan oleh sekolah mubaligh bagi menentukan pembahagian peruntukan mengikut denominasi masing-masing.

Sebanyak enam badan pengurusan sekolah mubaligh menerima cek berkenaan untuk disalurkan kepada sekolah di bawah seliaan masing-masing.

“The Anglican Diocese of Kuching menerima RM7,751,900 menerusi 50 cek, diikuti the Roman Catholic Archdiocese of Kuching sebanyak RM4,961,216 (32 cek) dan the Roman Catholic Diocese of Sibu sebanyak RM3,565,874 (23 cek).

“The Roman Catholic Diocese of Miri menerima RM1,085,266 (tujuh cek), the Methodist Sarawak Iban Annual Conference sebanyak RM1,240,402 (lapan cek) dan the Methodist Sarawak Chinese Annual Conference sebanyak RM1,395,342 (sembilan cek),” ujarnya.

Uggah yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berkata, penyerahan cek kepada wakil gereja itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan peranan badan pengurusan agama.

Beliau berkata, sebanyak RM90 juta diperuntukkan tahun ini bagi rumah ibadat, dengan RM34 juta daripadanya telah disalurkan.

Beliau menyifatkan bantuan berkenaan sebagai satu perubahan besar kepada sekolah mubaligh, gereja dan rumah ibadat lain di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU