ARTIKEL

RASMI…Yakub merasmikan projek di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah melibatkan Anjung Selera Balingian, Pusat Penjaja Kuala Balingian, pembinaan tempat letak kereta, tandas awam dan landskap serta naik taraf Pusat Sumber Balingian dan Pejabat MDDM, baru-baru ini.

Empat Projek Rakyat Dirasmikan, Pacu Wajah Baharu Balingian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALINGIAN: Kerajaan Sarawak komited memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar melalui pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi di Balingian.

Komitmen itu dizahirkan menerusi empat projek rakyat yang telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa dan berfungsi bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.

Kesemua projek tersebut dilaksanakan di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) merangkumi penyediaan kemudahan perniagaan, kemudahan awam serta penambahbaikan perkhidmatan komuniti di kawasan Balingian.

Menurut Yakub, pelaksanaan projek-projek berkenaan selaras dengan agenda kerajaan bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang, termasuk di kawasan luar bandar.

“Penyediaan infrastruktur yang lengkap dan berkualiti bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya.

Antara projek utama yang dirasmikan ialah Anjung Selera Balingian, sebuah pusat kulinari bernilai RM5 juta yang dilengkapi 10 unit gerai makanan dan minuman.

Kemudahan itu dibangunkan bagi menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada peniaga tempatan di samping berfungsi sebagai lokasi persinggahan strategik kepada pengunjung yang melalui kawasan berkenaan.

Selain itu, Pusat Penjaja Kuala Balingian bernilai RM3 juta turut dirasmikan dengan penyediaan 20 unit gerai perniagaan yang lebih tersusun dan kemas.

Melalui pelaksanaan projek ini, ia dijangka dapat meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan serta memperbaiki taraf ekonomi penjaja kecil di sekitar Kuala Balingian.

Turut dilaksanakan ialah projek pembinaan tempat letak kereta, tandas awam dan landskap bernilai RM1.5 juta bagi meningkatkan keselesaan orang ramai serta memperindah persekitaran pekan Balingian, khususnya semasa penganjuran majlis rasmi dan aktiviti kemasyarakatan.

Di samping itu, projek naik taraf Pusat Sumber Balingian dan Pejabat MDDM melibatkan kerja pengubahsuaian dalaman serta penyediaan perkakasan bernilai RM1.5 juta, bertujuan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan menyediakan kemudahan rujukan yang lebih baik kepada komuniti setempat.

Secara keseluruhan, pelaksanaan projek-projek ini mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan setiap peruntukan disalurkan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat luar bandar.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU