KAPIT: Empat sekeluarga terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter dari jalan utama di Sempaling Baleh, Jalan Nanga Mujong, di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.03 petang sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa telah dibawa ke hospital oleh ahli keluarga mereka.
Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam, dua mangsa mengalami kecederaan, iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.
Sementara itu, seorang wanita warga emas dan seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan itu, tiada operasi menyelamat dijalankan dan anggota bomba hanya melakukan pemantauan di lokasi serta memotong wayar bateri kenderaan bagi memastikan keadaan selamat.



