BELAWAI: Empat disahkan terkorban manakala enam lagi masih hilang selepas sebuah bot gentian kaca yang membawa penumpang warga Indonesia karam berhampiran pantai Belawai, kira-kira jam 2.00 petang tadi.
Mereka yang meninggal dunia dikenal pasti dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Dalam kejadian tragis itu, tujuh mangsa berjaya diselamatkan terdiri daripada empat lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Komander Operasi, PBK I Adam Gauk berkata, bot jenis gentian kaca itu difahamkan membawa penumpang serta barang keperluan harian dari Jeti Nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa (Zion Pelita).
“Bagaimanapun, bot berkenaan karam sebelum sempat tiba di jeti pekerja ladang terbabit.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan menggunakan bot penyelamat dan pencarian tertumpu di permukaan air dalam radius tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya sebentar tadi.
Menurutnya, sehingga kini enam mangsa masih belum dijumpai, terdiri daripada lima lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.00 petang kerana faktor cuaca dan akan disambung semula esok dengan bantuan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Zon Bomba Sibu dan Betong,” katanya.
Turut sama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Sarawak Coast Guard, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung.


