SIBU: Seramai 49 anggota bomba dari tiga balai digerakkan dalam operasi pemadaman berskala besar bagi mengawal kebakaran yang memusnahkan enam lot rumah kedai dua tingkat di Jalan Khoo Peng Loong, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu, PgKB I Ts Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Sungai Merah dan Sibu Jaya ke lokasi kejadian.


“Kebakaran melibatkan enam lot rumah kedai kekal yang dipecahkan kepada 28 unit lot kecil, dengan keluasan keseluruhan bangunan dianggarkan 300 kaki panjang dan 50 kaki lebar,” katanya dalam kenyataan.
Andy berkata, operasi pemadaman menjadi lebih mencabar apabila api merebak ke sebahagian besar bangunan sebelum ketibaan pasukan bomba.
Bagaimanapun katanya, hujan yang turun ketika operasi sedikit banyak membantu mengurangkan keamatan kebakaran.
“Kami menggunakan kaedah pemadaman secara ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada terus merebak ke bangunan berhampiran sebelum berjaya menstabilkan keadaan,” katanya lagi.
Setakat 5 petang, katanya, operasi pemadaman dan kerja pemeriksaan masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang berpotensi mencetuskan kebakaran semula.
Tiada mangsa katanya dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


