ARTIKEL

TUN Wan Junaidi digelar “ensiklopedia bergerak” bukan kerana mengetahui segala-galanya tetapi kerana sentiasa mempunyai keinginan untuk mengetahui sesuatu yang baharu.

Ensiklopedia bergerak dari Teriso

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAGI Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dunia tidak pernah sekadar tempat untuk dilalui. Setiap tempat yang dikunjungi, manusia yang ditemui dan pengalaman yang dilalui seolah-olah meninggalkan sesuatu untuk dipelajari.

Mungkin kerana itu, sukar untuk memisahkan pengalaman hidupnya daripada pengetahuan yang dikumpul sepanjang perjalanan.

Dari zaman kanak-kanak di Kampung Pendam dan Kampung Teriso, kehidupan sebagai anggota polis, pengalaman di hutan, pengajian undang-undang, kerjaya sebagai peguam, perjalanan panjang dalam politik dan akhirnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, semuanya menjadi sebahagian daripada sebuah perpustakaan hidup yang sentiasa berkembang.

Beliau pernah digambarkan sebagai “ensiklopedia bergerak” — bukan kerana mengetahui segala-galanya, tetapi kerana sentiasa mempunyai keinginan untuk mengetahui sesuatu yang baharu.

Di kediamannya, hampir 7,000 naskhah buku tersusun sebagai saksi kepada tabiat membaca yang dipupuk sejak usia muda. Dalam satu wawancara, Tun Wan Junaidi menceritakan minat membaca bermula ketika beliau belum mempunyai banyak wang.

Beliau pernah melanggan Reader’s Digest dan terus membacanya termasuk ketiga-tiga dalam hutan. Minat itu kemudian berkembang kepada karya sastera klasik seperti tulisan Charles Dickens, Shakespeare dan Homer.

Rak-rak buku itu akhirnya menjadi lebih daripada tempat menyimpan koleksi. Ia menjadi rekod perjalanan pemikirannya — daripada sejarah, undang-undang dan politik kepada sastera, bahasa serta pelbagai bidang kehidupan manusia.

Bagi Tun Wan Junaidi, membaca dan menulis tidak pernah menjadi dua kegiatan yang terpisah.

Semakin banyak dibaca, semakin banyak pengalaman dilalui, semakin banyak yang mula dicatat.

Antara karya yang dihasilkannya ialah A Policeman, yang menghimpunkan pengalaman beliau ketika berk hidmat dalam pasukan polis dan operasi menentang ancaman komunis di Sarawak.

Dalam buku itu, beliau merakam pengalaman berdepan operasi berisiko tinggi ketika menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di Miri, Sibu dan Kapit.

Pengalaman tersebut bukan sekadar catatan seorang bekas anggota polis, tetapi sebahagian daripada sejarah peribadinya yang mempengaruhi cara beliau melihat kepimpinan dan tanggungjawab.

Pengalaman di hutan mengajarnya tentang kepercayaan, kebersamaan serta memahami kebimbangan mereka yang berada di bawah tanggungjawab seorang pemimpin.

Beliau turut menyifatkan pengalaman itu sebagai antara perkara yang membentuk pemahamannya tentang kepimpinan dan nilai kemanusiaan.

Tun Wan Junaidi turut menulis Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia, sebuah karya yang memperlihatkan minatnya terhadap institusi parlimen dan perkembangan sistem demokrasi negara. Edisi ketiga buku berkenaan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada Januari 2024.

Karya-karya tersebut memperlihatkan satu sisi dirinya yang kadangkala terlindung di sebalik jawatan dan protokol — seorang manusia yang gemar mencatat, menyusun pemikiran dan meninggalkan rekod tentang perkara yang dianggap penting.

Minat itu turut terlihat dalam karya yang lebih peribadi. Teriso’s Little Star, yang diterbitkan pada 2025 berasal daripada manuskrip bertajuk When A Child Was Born.

Menurut Tun Wan Junaidi, manuskrip itu tersimpan dalam komputer ribanya selama bertahun-tahun sebelum diterbitkan selepas mendapat galakan daripada seorang rakan yang membaca dan menyemaknya.

Karya tersebut memperlihatkan bahawa di sebalik tulisan mengenai polis, parlimen dan pentadbiran, masih ada ruang untuk cerita yang lebih dekat dengan kehidupan dan perasaan manusia.

Selepas lebih tiga dekad berada di parlimen, termasuk melalui pelbagai jawatan dalam Kerajaan Persekutuan, beliau terus membaca dan menulis. Bahkan selepas dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari 2024, minat itu kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan hariannya.

Buku 365 Days in Astana: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula dirangka bukan sekadar sebagai koleksi gambar rasmi, tetapi catatan tentang tanggungjawab, nilai dan peranan beliau sepanjang tahun pertama sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Namun, buku bukan satu-satunya jendela beliau kepada dunia. Filem asli Cina menjadi antara hiburan yang diminatinya, manakala perjalanan kehidupan beliau melibatkan pelbagai bidang manusia tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan latar belakang. Jika topi menyimpan kenangan tentang tempat yang pernah dikunjungi, buku pula menyimpan dunia yang pernah diterokai melalui pembacaan.

Semua itu membawa kembali kepada satu perkara iaitu rasa ingin tahu yang membawa seorang anak dari Teriso dan Kampung Pendam kepada ketika muda, ke hutan sebagai anggota polis, ke England untuk mendalami undang-undang, ke Amerika Syarikat untuk pengajian peringkat kedoktoran dan akhirnya ke pentas politik serta kenegaraan.

Dari Teriso ke Astana Negeri Sarawak, kehidupannya bukan sekadar perjalanan seorang anak Sarawak menuju jawatan tertinggi negeri. Ia juga perjalanan seorang manusia yang sepanjang hidupnya memiliki untuk terus membaca, memahami dan belajar.

Mungkin itulah makna sebenar “ensiklopedia bergerak” — bukan manusia yang mengetahui segala-galanya, tetapi manusia yang tidak pernah berhenti mahu mengetahui.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU