KUCHING: Penjaring gol penyamaan Kitchee SC, Everton Camargo menganggap keputusan seri 1-1 menentang Kuching City FC sebagai pencapaian positif buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan mencabar dalam keadaan cuaca panas di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Pemain sayap kelahiran Brazil itu berkata, Kitchee terpaksa bekerja keras untuk bangkit selepas dikejutkan jaringan awal The Cats pada minit kedua dalam aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027.

Menurutnya, semangat kerjasama dan kesungguhan seluruh pasukan menjadi faktor penting yang membolehkan wakil Hong Kong itu kembali mengimbangi permainan sebelum membawa pulang satu mata.
“Bukan mudah untuk bangkit selepas dibolosi begitu awal, tetapi semua pemain memberikan usaha 100 peratus dan saling membantu. Itu perkara paling penting bagi saya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Everton yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan berkata, jaringan penyamaan pada minit ke-14 membantu Kitchee mendapatkan semula keyakinan selepas permulaan yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sumbangan individu bukan keutamaan kerana Kitchee perlu terus meningkatkan mutu permainan bagi menghadapi baki saingan kumpulan.
Keputusan itu menyaksikan Kitchee mengumpul dua mata daripada dua perlawanan, manakala Kuching City memperoleh mata pertama dalam penampilan sulung mereka di ACL2.
Kitchee dijadual meneruskan saingan Kumpulan H dengan kunjungan ke Kemboja menentang Phnom Penh Crown FC pada 29 Oktober, manakala KCFC akan bertandang ke Korea Selatan untuk berdepan Gangwon FC pada hari sama.


