KUALA LUMPUR: Kumpulan pop rock legenda Exists membuktikan vokal dan tenaga mereka masih bertenaga menerusi Konsert Exists Memento Mori sempena 35 tahun perjalanan seni di Unifi Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu menghimpunkan semula Along, Musa, Ujang, Ajai, Shah, Ezad Lazim dan Mamat, sekali gus menghidupkan nostalgia era 1990-an di hadapan ribuan peminat. Ezad dan Mamat membuka persembahan dengan lagu popular masing-masing sebelum bergandingan sepanjang konsert.

Selain lagu malar segar, Exists turut membawakan beberapa karya yang jarang dipersembahkan seperti Kuman HIV, Oh! Benih Adam, Hidupan Fantasi, Konklusi dan Sebelum Terlewat. Persembahan Mamat menerusi Untukmu Ibu turut mengundang sebak penonton, manakala Buih Jadi Permaidani dan Mengintai Dari Tirai Kamar kembali menghangatkan suasana.
Antara detik menarik ialah gimik kapal terbang kertas ketika lagu Kapal Terbang Kertas, selain suasana seperti karaoke gergasi menerusi Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara, Tak Mungkin Berpaling dan Jesnita. Sebanyak 33 lagu dipersembahkan termasuk single baharu Memilih Yang Salah nyanyian Ezad.
Konsert ditutup dengan duet Ezad dan Mamat menerusi Langkah Seiringan serta Alasanmu, membuktikan karya berkualiti dan semangat persaudaraan Exists terus mendapat tempat dalam kalangan peminat merentas generasi seperti dilapor Bernama.




