KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mendedahkan kandungan penuh draf Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang.
Draf MoU tersebut ditolak oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam.
Fadillah berkata, kandungannya didedahkan memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan.
“Niat Kerajaan MADANI ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua Ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.
“Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia,” menurutnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Inti pati MoU tersebut adalah seperti berikut:
1. Tempoh Kuat Kuasa Memorandum Persefahaman
Berkuatkuasa dari tarikh memorandum dan terpakai hingga pembubaran Majlis Parlimen ke-15, atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).
2. Obligasi Perikatan Nasional
Menyentuh tentang peranan dan fungsi Ahli Parlimen Pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai Ahli Parlimen Pembangkang Berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina. Ia juga menyentuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.
3. Obligasi Kerajaan Persekutuan
Kerajaan Persekutuan antara lain mengakui bahawa Ahli Parlimen Pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai Pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada Negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab.
4. Ketelusan dan tiada kerahsiaan
Memorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.
5. Pemakaian undang-undang
Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.
6. Pembatalan Memorandum
Memorandum Persefahaman ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut MoU ini. Ini melibatkan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.
Menurut Fadillah, dengan pendedahan tentang kandungan MoU ini, rakyat sendiri boleh menilai bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang tentang draf itu tidak berasas sama sekali.
Semalam, Pembangkang sebulat suara menolak MoU Mengenai Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.
Hamzah berkata, keputusan tersebut dibuat atas empat sebab asas yang antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, katanya, draf itu turut mengandungi perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen Pembangkang.

