ARTIKEL

FADILLAH semasa menghadiri Festival Idea Putrajaya 2025 di Putrajaya, hari ini.

Fadillah: Literasi Digital, Celik AI Teras Ketahanan Bangsa Masa Depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Malaysia sedang memperkukuh literasi digital dan celik kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan penuntutnya menjadi pengendali teknologi yang beretika.

FADILLAH semasa menghadiri Festival Idea Putrajaya 2025 di Putrajaya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, dalam era AI, masyarakat mesti menguasai teknologi tanpa kehilangan kemanusiaan.

“Sehubungan itu, Malaysia kini memperkukuh literasi digital dan celik AI agar pelajarnya menjadi pengendali teknologi yang beretika, berempati dan bertanggungjawab.

“Dalam masa sama, Malaysia komited membina sistem pendidikan yang bukan sahaja berfokus pada kemahiran akademik tetapi juga membangunkan daya tahan moral, nilai dan keutuhan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Festival Idea Putrajaya 2025, yang menghimpunkan para pemikir dan peneraju pendidikan dari dalam dan luar negara di Putrajaya, hari ini.

Tegasnya, Malaysia turut berkongsi keyakinan bahawa pendidikan bukan sekadar alat kemajuan tetapi kuasa yang membentuk masa depan bangsa dan kemanusiaan.

“Oleh demikian, tema Dunia Melangkau 2030: Ke Arah Masa Depan yang Berdaya Tahan Melalui Pendidikan sangat bertepatan dengan cabaran semasa.

“Ia mengingatkan kita bahawa pendidikan perlu menjadi teras ketahanan, pemangkin keterangkuman dan asas kemakmuran lestari.

“Inilah yang akan menjadikan generasi masa depan lebih bersedia menghadapi dunia yang sentiasa berubah,” ujarnya menambah, hal tersebut melahirkan pemikir kritikal, warganegara empati dan inovator berani.

Menurutnya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, isu perubahan iklim turut menjadi fokus penting.

“Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Green TVET, kita mendidik generasi muda bukan sekadar tentang alam sekitar tetapi untuk menjaga dan memulihara bumi demi masa depan yang lestari.

“Di bawah gagasan Malaysia MADANI, pendidikan menjadi jambatan membina minda dan perpaduan. Malaysia berhasrat menjadi penghubung antara Utara dan Selatan global — memperkukuh kerjasama penyelidikan, mobiliti pelajar dan pertukaran ilmu di rantau Asia Tenggara dan dunia.

“Oleh demikian, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama memperbaharui sistem pendidikan kita.

“Dunia pasca-2030 kelak menuntut pendidikan yang membentuk insan bijaksana, beretika dan berperikemanusiaan memandangkan masa depan bukan diwarisi tetapi dididik untuk diwujudkan,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU