KUCHING: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menuntut penjelasan rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perubahan masa tambahan pada penghujung perlawanan Indonesia-Bangladesh yang menyaksikan dua gol lewat Indonesia membawa mereka ke final Piala ASEAN FIFA 2026.
Indonesia menewaskan Bangladesh 9-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam kelmarin, manakala Malaysia membelasah Singapura 6-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Bandung.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia dan Malaysia sama-sama mengumpul tujuh mata, namun Indonesia menduduki tangga teratas selepas menjaringkan lebih banyak gol untuk mara ke final.
Situasi menjadi lebih dramatik pada penghujung perlawanan apabila Indonesia yang ketika itu mendahului 7-2 memerlukan tambahan jaringan untuk mengatasi Malaysia dari segi jumlah gol.

Kevin Diks menjaringkan gol pada minit ke-90+6 sebelum Mitchell Baker melengkapkan hatriknya pada minit ke-90+7 untuk memastikan Indonesia menang 9-2 dan mengatasi Malaysia dalam persaingan ke final.
Dalam kenyataan media, FAM berkata pihaknya memandang serius perubahan tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit sebelum berubah kepada tujuh minit.

“Kami ingin menegaskan bahawa pengurusan masa merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu, hari ini.
FAM turut berpandangan perkara berkenaan perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana perlawanan Indonesia-Bangladesh mempunyai kaitan langsung dengan persaingan menentukan kedudukan akhir Kumpulan A serta pasukan yang layak ke final.
Sehubungan itu, FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.
FAM berkata permohonan penjelasan itu bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan rasmi mengenai proses dan prosedur pengadilan.
“Justeru, kami menggesa FIFA supaya menjalankan penelitian terhadap insiden berkenaan dan memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan.
“Termasuk sama ada perubahan tempoh masa tambahan tersebut telah dilaksanakan mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
FAM turut menegaskan permohonan berkenaan bertujuan mengelakkan kekeliruan yang timbul berhubung pengurusan masa perlawanan serta memastikan proses pengadilan pada masa akan datang terus difahami dan dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.
Berdasarkan format Piala ASEAN FIFA 2026, bahagian Divisyen 1 membabitkan lapan pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan.
Perlawanan peringkat kumpulan menggunakan format satu pusingan dan juara setiap kumpulan mara ke final.
Kumpulan A dihuni Indonesia, Malaysia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B membabitkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum seri tanpa jaringan 0-0 menentang Indonesia, manakala kemenangan 6-0 ke atas Singapura menjadi keputusan terakhir Harimau Malaya dalam saingan kumpulan.
Malaysia selepas ini akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga menentang Vietnam pada 5 Oktober, manakala Indonesia menentang Thailand di final yang turut dijadual berlangsung pada hari sama.

