KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu memproses durian menjadi pes bagi mengatasi lambakan buah itu di pasaran negeri berkenaan.
Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata Pusat Pemprosesan Buah-Buahan Segar FAMA di Besut diaktifkan sejak 22 Jun dengan kapasiti memproses kira-kira 10 tan metrik pes durian sebulan.
Beliau berkata pes durian digunakan dalam industri hiliran seperti pembuatan kuih dan aiskrim, selain mampu disimpan sehingga 16 tan metrik pada satu-satu masa.
Menurut Bernama, kerja pemprosesan dilakukan apabila harga durian di ladang jatuh di bawah RM3.50 sekilogram. FAMA turut menjual durian secara pukal pada harga rendah di 11 pusat jualannya di seluruh Terengganu.
Beliau berkata pengeluaran durian di Terengganu tidak terlalu tinggi, namun kemasukan bekalan dari negeri lain menyebabkan lambakan di pasaran.

