KOTA SAMARAHAN: Farley Kota Samarahan menganjurkan Majlis Sentuhan Kasih 2026 bagi meraikan 50 anak yatim dari beberapa sekolah di sekitar kawasan ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, beliau amat menghargai inisiatif Farley dalam menyediakan sumbangan seperti baucar dan hamper kepada kanak-kanak berkenaan.

“Kita berharap agar sumbangan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana yang meriah.
“Saya juga ingin menekankan pentingnya semangat perpaduan, bantu-membantu serta keprihatinan masyarakat dalam menjaga kebajikan sesama insan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Anuar Da’an, sempena Majlis Sentuhan Kasih 2026 di The Garden Farley Kota Samarahan, semalam.
Dalam pada itu, Rubiah turut menyeru agar lebih banyak pihak dan agensi tampil menyokong aktiviti kemasyarakatan serta program kebajikan pada masa hadapan.

Menurutnya, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Farley atas inisiatif menganjurkan majlis ini serta kepada agensi kerajaan seperti JAIS dan Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan yang turut berganding bahu menjayakannya.

