ARTIKEL

RAKAM KENANGAN... Dr. Sim dan Fatimah merakam kenangan bersama yang lain semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Dalat, hari ini.

Fatimah gesa percepat jajaran jalan langsung Dalat-Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAT: Cadangan pembinaan jajaran jalan secara langsung dari Dalat ke Sibu perlu dipercepatkan, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menurutnya, jajaran itu penting bagi memendekkan tempoh perjalanan selain meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua kawasan berkenaan.

“Ketika ini, kita mempunyai dua laluan utama yang menghubungkan Sibu dengan Dalat, masing-masing melalui Selangau dan Tanjung Manis yang perlu melalui Daro, Matu, Igan dan Oya.

CENDERAMATA… Dr. Sim menerima cenderamata daripada Fatimah dalam majlis tersebut.

“Kedua-dua laluan itu melibatkan jarak perjalanan yang lebih jauh kerana melalui beberapa kawasan sebelum tiba di Dalat.

“Justeru, kami berharap agar cadangan jajaran jalan secara langsung dari Sibu ke Dalat dapat terus diberi perhatian dan dipercepatkan pelaksanaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Dalat di Tebingan Dalat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, jajaran berkenaan melibatkan Kampung Kekan Seberang, Kut Muara, Sungai Pinang, Bungan Besar dan Rassau sepanjang 13.1 kilometer dengan standard jalan R3.

Ujarnya, projek yang dibiayai Kerajaan Sarawak itu dianggarkan menelan kos RM140 juta dan kini berada pada peringkat perancangan.

Pada masa sama, jajaran yang sama turut mempunyai komponen di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan, membabitkan laluan dari Kut Muara, Sungai Pinang, Bungan Besar hingga Rassau sepanjang kira-kira sembilan kilometer dengan anggaran kos RM131 juta.

“Projek ini juga sedang melalui proses reka bentuk terperinci dan kerja berkaitan tanah, dengan sasaran untuk ditender pada suku keempat 2026, tertakluk kepada proses serta kelulusan yang ditetapkan.

“Cadangan lain pula pembinaan jajaran sepanjang 4.32 kilometer dari Kampung Bungan Besar ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batang Igan dengan anggaran kos RM68.5 juta.

“Permohonan Program Jalan Luar Bandar (JALB) dan Program Jambatan Luar Bandar (JMLB) ini telah dikemukakan di bawah Pelan Rolling Ke-2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” jelasnya.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat turut memohon kerajaan mempertimbangkan beberapa projek pembangunan lain di Dalat.

Ujarnya, ini termasuk pembangunan Tebingan Dalat Fasa 4, pembinaan kompleks sukan mini di Oya dan pembinaan 30 unit rumah di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Dalam pada itu, beliau turut meminta perhatian kerajaan terhadap permohonan pekebun kecil rumbia berkaitan urusan hak milik dan penyukatan tanah.
Selain itu, beliau turut memohon supaya enam Kiosk Belia dinaik taraf serta liputan dan kualiti rangkaian internet ditambah baik, khususnya di Klid, Kampung Kut dan Oya.

Hadir sama, Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU